Dr Roshaiza (kanan) ahli panel pada sesi pertama Bicara Bajet Terengganu 2018, di Wisma Darul Iman yang dihoskan oleh Muhd Aimin selaku moderator program itu.
Bajet Terengganu 2018 bertemakan ‘Masa Hadapan Yang Lestari’ terus memberi perhatian dalam membela nasib golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan sekali gus meningkatkan pembangunan sosioekonomi negeri.
Ketua Pengurusan Risiko, Pusat Transformasi Perancangan Strategik Dan Risiko, Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Roshaiza Taha berkata, pelbagai inisiatif yang terkandung dalam Bajet 2018 menyediakan kaedah yang holistik, inklusif, berfokus dan berdaya maju ke arah meningkatkan pembangunan sosioekonomi masyarakat.
Katanya, dalam konteks ekonomi hari ini segala keluh kesah masyarakat mengenai kos sara hidup diberi perhatian serius oleh kepimpinan tertinggi negeri dengan memperkenalkan pelbagai strategi dalam menaik taraf ekonomi, merapatkan jurang kemiskinan serta bantuan kos sara hidup.
Menurut Roshaiza, strategi kerajaan dalam meningkatkan ekonomi rakyat negeri ini cukup bijak apabila memperkenalkan pelbagai bantuan berbentuk sokongan.
‘”Ibarat menyediakan kail, dan bukannya memberi ikan’, menerusi bantuan sokongan yang disediakan, belanjawan yang dirangka kerajaan lebih membuka peluang dan memberi jalan kepada rakyat negeri ini untuk mengambil peluang supaya dapat mencari titik punca meneruskan kelangsungan hidup.
“Sebagai contoh, bantuan modal untuk mulakan perniagaan termasuk kepada golongan ibu tunggal, golongan belia dan sebagainya dengan memfokus kepada apa yang diminati masyarakat umpamanya perniagaan ‘food truck’," ujarnya.
Beliau mengulas demikian dalam Bicara Bajet Terengganu 2018 di Wisma Darul Iman yang dikendalikan Timbalan pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Pengurusan) Muhd Aimin Mohd Tahir, sebagai moderator program itu.
Roshaiza berkata, inisiatif yang kerajaan sediakan bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup peserta tetapi dapat meningkatkan ekonomi negeri secara menyeluruh.
Roshaiza berkata, inisiatif yang kerajaan sediakan bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup peserta tetapi dapat meningkatkan ekonomi negeri secara menyeluruh.
Sementara itu, katanya, peratusan tenaga kerja yang berpendidikan tinggi di Terengganu kini ialah pada tahap 30 peratus dan berkembang lebih cepat daripada purata di peringkat nasional iaitu 28 peratus. - teganukite.net