Tuesday 2 January 2018


Sambutan tahun baru 2018 bagi sepuluh keluarga miskin dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, membawa berita menggembirakan apabila mereka bakal menetap di rumah baru di penempatan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Teluk Rebana, Apal, Besut.

Penerima rumah berkenaan menyifatkan kedatangan tahun baharu sebagai anugerah paling berharga apabila impian mendapatkan rumah kediaman sendiri menjadi kenyataan selepas berpuluh tahun tinggal bersama keluarga.

Majlis penyerahan replika kunci rumah dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar bersama Pegawai Daerah Besut, Wan Ismail Sahaimi Wan Omar dalam satu majlis ringkas semalam.

Wan Ismail berkata, pembinaan rumah berkelompok itu membantu menyelesaikan sebahagian golongan berpendapatan rendah yang tidak mempunyai rumah kediaman sendiri.

Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta bagi pembinaan rumah PPRT di daerah itu dan 50 rumah sudah disiapkan serta diserahkan kepada penerima yang layak.

Mohd Iskandar berkata, pihaknya mengambil masa hampir dua tahun untuk menyiapkan projek rumah berkenaan kerana menghadapi beberapa masalah teknikal dan bersyukur akhirnya ia dapat diselesaikan dengan sempurna.

“Masih ramai golongan yang memerlukan rumah di kawasan itu, dan kerajaan akan berusaha dari masa ke semasa untuk membantu golongan terbabit,” katanya.

Seorang penerima, Aida Mat Hussin, 46, berkata, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada pihak terbabit kerana memilihnya untuk mendapatkan rumah berkenaan.

Katanya, sebelum ini beliau terpaksa menumpang di rumah ibu bapa bersama tiga anak manakala suaminya bekerja di Kemaman kerana tidak mempunyai tempat tinggal yang selesa.



“Saya akan berpindah di rumah baru dan menganggap tahun baru membawa rezeki dan tuah kepada ahli keluarga kerana mempunyai rumah sendiri,” katanya. - teganukite.net

Demi Masa

Kategori Artikel

Arkib Blog

Jumlah Pelawat

1TeCC. Powered by Blogger.

Makluman

Promosi

Artikel Pilihan