Monday, 18 December 2017


Atlet Sukan Sea dan Para Asean melaung Terengganu nelang. Foto Harish Fadzillah Abu Kassim 

Terengganu mengagihkan insentif berjumlah lebih RM380,000 kepada 79 atlet Sukan SEA  dan 21 atlet Para Asea 2017 selepas kejayaan mengharumkan nama negeri dan negara di persada antarabangsa.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan  menyempurnakan Majlis Penyampaian Insentif Kejayaan Sukan SEA/ Para Asean di Hotel Primula, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir mengiringi  baginda, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan  Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail dan  Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat.

Seramai 100 atlet, termasuk 21 atlet Para Asean  menerima insentif menerusi Skim Hadiah Kemenangan (Shake) dengan setiap atlet layak menerima  RM5,000 bagi kejayaan meraih emas, RM3,000 (perak) dan RM2,000 untuk gangsa.


Manakala bagi acara berpasukan RM2,500 untuk pingat emas, perak (RM2,000) dan gangsa pula sebanyak RM1,500.

Sultan Mizan yang memenangi pingat emas bagi acara kuda lasak (Endurance) pada temasya Sukan SEA 2017 lalu turut berkenan menerima insentif tersebut.

Penerima terbanyak insentif adalah  Zulhairi Ahmad Tarmizi yang memperoleh wang tunai RM18,500 berikutan kejayaan meraih tiga emas dan satu perak pada sukan Para Asean lalu.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, Terengganu bukan sahaja dikenali sebagai kuasa besar pendidikan negara, malah juga kuasa besar dalam bidang sukan.

Katanya, perkara itu dapat dibuktikan apabila ramai atlet Terengganu  berkemampuan mencipta nama negara malah ada yang berjaya memecahkan rekod Sukan SEA baru-baru ini.

“Pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur sebanyak 26 pingat emas, 16  pingat perak dan 14 pingat gangsa berjaya dikutip  atlet kita.


“Manakala sukan Para ASEAN 2017 pula, sebanyak tujuh pingat emas, 12 pingat perak dan 11 pingat gangsa telah berjaya dimenangi oleh para atlet ,” katanya.

Menurutnya, seluruh rakyat Terengganu turut berasa bangga di atas pencapaian luar biasa Sultan Terengganu, Sultan Mizan yang berjaya merangkul  dua  emas dan satu  perak dalam acara kuda lasak.

“Secara keseluruhan, sukan berbasikal  paling banyak menyumbang pingat pada temasya sukan baru-baru ini apabila berjaya menyumbang 10 pingat emas, tiga perak dan dua gangsa.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua atlet tidak kira yang memenangi pingat emas, perak mahupun pingat gangsa. Sesungguhnya kejayaan anda semua merupakan satu kebanggaan buat negera dan seluruh rakyat Terengganu,”katanya. - teganukite.net

Demi Masa

Kategori Artikel

Arkib Blog

Jumlah Pelawat

1TeCC. Powered by Blogger.

Makluman

Promosi

Artikel Pilihan