Thursday, 2 November 2017


Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu tidak menolak seorang  pegawai perubatan yang bertugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)  mati kerana keracunan makanan namun pihaknya masih menyiasat sekiranya terdapat unsur  lain yang menyebabkan kematian  doktor tersebut.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohammad Omar berkata, punca kematian doktor itu paling cepat akan diketahui dalam masa dua minggu berdasarkan keputusan analisis di makmal.

"Hasil bedah siasat telah dibuat oleh pakar forensik namun tiada unsur jenayah, namun begitu beberapa specimen telah diambil seperti biasa untuk ketahui sebab kematian.

“Perkara itu perlu mengambil masa dan kita serah kepada pihak polis untuk melakukan siasatan secara terperinci,” katanya.

Menurut laporan dari petikan Harian Metro hari ini, seorang doktor perubatan lelaki ditemui mati di bilik sewanya di Kampung Nyior Sepohon, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu selepas beberapa hari gagal dihubungi.

Mohd Muaz Mohd Sabri berusia lingkungan 30-an ditemui anak pemilik bilik sewa berkenaan selepas berjaya membuka pintunya 10.40 malam semalam.

Mangsa yang bertugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dipercayai meninggal dunia beberapa hari lalu selepas gagal dihubungi tunangnya sebelum meminta bantuan pemilik bilik sewa berkenaan mencarinya.

Difahamkan, mangsa dan tunangnya yang juga doktor di hospital yang sama sebelum ini mengalami keracunan makanan selepas mereka makan makanan yang dibeli di pasar malam di Kuala Ibai.

Tunangnya dikatakan terpaksa dirawat di hospital tetapi mangsa didakwa enggan menerima rawatan dan mengambil keputusan untuk berehat sahaja di bilik sewanya.

Sepasukan polis yang dihubungi pemilik bilik sewa berkenaan ke lokasi berkenaan dan mendapati keadaan mangsa sudah berbau sebelum membawanya ke Unit Forensik HSNZ untuk proses bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar mengesahkan ada menerima laporan berkaitan penemuan mayat lelaki berkenaan.


Menurutnya, pihaknya mengklasifikasikan kematian lelaki berkenaan sebagai kes mati mengejut. - teganukite.net

Demi Masa

Kategori Artikel

Arkib Blog

Jumlah Pelawat

1TeCC. Powered by Blogger.

Makluman

Promosi

Artikel Pilihan