Sunday, 5 November 2017
- November 05, 2017
- ketuapkp
- KOMUNITI , PENDIDIKAN
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ceneh Baru (SMKCB), Kemaman yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bermula Isnin ini, diraikan di Majlis Restu Ilmu, di sekolah itu, hari ini.
Majlis dua jam bermula 8 pagi melibatkan 85 calon SPM dan 70 calon STPM sebagai medan pertemuan untuk guru memberi kata-kata semangat dan motivasi sebelum pelajar berkenaan menempuhi peperiksaan penting itu.
Pengetua SMKCB, Tengku Shahrir Tengku Dahlan berkata, majlis itu sebagai penutup tirai pertemuan dengan pelajar bagi memastikan peperiksaan pada 6 hingga 28 November ini dapat ditempuhi dengan tenang dan lancar.
“Saya berharap agar keputusan SPM dan STPM pada tahun ini meningkat berbanding tahun sebelumnya.
“Tidak lupa juga harapan daripada semua guru SMKCB agar ada calon SPM tahun ini mendapat semua A manakala bagi calon STPM pula mendapat 4 flat,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu, Penolong Kanan Pentadbiran, Ramlah Ahmad, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Mohd Abdillah Taha dan Penolong Kanan Kokurikulum, Hassan Mohd Nor.
Pada majlis itu juga, Shahrir turut menyampaikan sedikit sumbangan alatan tulis kepada pelajar berkenaan.
Shahrir berharap agar mereka dapat menjawab peperiksaan dengan baik dan mencapai keputusan cemerlang demi masa depan masing-masing.
“Tidak lupa juga kepada tenaga pengajar, guru-guru SMKCB yang selama ini bertungkus-lumus bagi mengajar dan mencurahkan ilmu kepada para pelajar.
“InsyaAllah segala ilmu yang dikongsi itu dapat membawa kebaikan kepada calon SPM dan STPM akan datang,” katanya. - teganukite.net