Wednesday 18 July 2018

Datuk Soiman Jahid
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjangkakan siasatan penuh kebakaran tangki menyimpan minyak mentah milik Kemaman Bitumen Company (KBC) akan diketahui selewat-lewatnya dua minggu lagi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Soiman Jahid berkata, ketika ini proses siasatan yang dijalankan telah selesai kira-kira 75 peratus dan lebih 20 orang perseorangan sudah dipanggil bagi membantu siasatan.

Katanya, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan kebakaran berpunca daripada kerja-kerja penyelenggaraan yang sedang dilakukan di kilang penapisan itu pada hari kejadian.

"Kita masih membuat siasatan lanjut dan pihak forensik JBPM masih lagi menemubual orang perseorangan untuk kita kenal pasti punca-punca yang menyebabkan berlakunya kebakaran.

"Dalam tempoh seminggu dua ini siasatan dan testimoni bukti akan dirumuskan di makmal penyiasatan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Sijil Penghargaan Sempena Operasi Pemadaman Kebakaran KBC di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kijal, Kemaman, hari ini.

.
Soiman, depan, ( empat dari kiri ) sedang melihat sijil penghargaan yang diterima oleh pengamal media
Pada majlis itu, Soiman menyampaikan sijil penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi itu iaitu JBPM Terengganu, JBPM Pahang dan JBPM Kelantan serta pihak yang membantu termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, KBC, Hospital Kemaman, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Di majlis itu juga pengamal media yang membuat liputan kes berkenaan juga turut diberi penghargaan termasuk Sinar Harian, Astro Awani, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), The Star dan Harian Metro.

Keadaan sebuah tangki menyimpan minyak mentah yang terbakar pada hari kejadian


Insiden kebakaran tiga tangki minyak mentah yang menggemparkan negara itu berjaya dipadamkan dalam tempoh hampir 49 jam.

Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 6.15 petang pada 5 Julai lalu itu menyebabkan kepulan asap hitam naik ke udara dan berlaku beberapa letupan yang gegarannya dapat dirasai penduduk sekitar.- teganukita.net

Demi Masa

Kategori Artikel

Arkib Blog

Jumlah Pelawat

1TeCC. Powered by Blogger.

Makluman

Promosi

Artikel Pilihan