Dato' Zubir bersama pemenang anugerah pada Malam Penghargaan Dan Anugerah Media 2017. Foto Tengku Syamim Tengku Ismail
Dua kakitangan Unit Komunikasi Negeri Terengganu ( Ukom) memenangi dua anugerah dalam Majlis Malam Penghargaan Dan Anugerah Media 2017 anjuran Epic Berhad di Hotel Primula, Kuala Terengganu malam tadi.
Pemberita, Suriati Ali memenangi tempat ketiga bagi kategori Media Cetak Dan Portal Online (Berita dan Rencana Terbaik). Manakala Jurufoto, Tengku Mohammad Syamim Tengku Ismail turut menduduki tempat ketiga bagi kategori Fotografi Terbaik. Masing-masing layak membawa pulang hadiah wang tunai RM750 beserta sijil penghargaan.
Anugerah kepada pemenang disampaikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Zubir Embong dan Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Noor Fadzil Mohamed Nor.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc Wan Rudirman Wan Razak; Pengurus Besar Bahagian Perancagan dan Komunikasi Korporat EPIc, Abdul Adzim Abdul Hamid dan Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat), Wan Abdul Rahman Hayat. Majlis sama turut mengiktirafkan Ketua Biro Utusan Terengganu Wan Zukifli Wan Yaakob sebagai penerima Anugerah Khas Kewartawanan, selain menggondol tempat pertama bagi kategori Media Cetak dan Portal Berita Online (Berita dan Rencana). Dua penganugerahan itu melayakkan Wan Zulkifli membawa pulang hadiah wang tunai RM4,500 beserta sijil. Lebih 100 pengamal media hadir memeriahkan majlis yang turut mempertandingkan kategori Media Elektronik yang dimenangi oleh Radio Televisyen Malaysia ( RTM). Terdahulu, Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman dalam teks ucapan yang dibacakan Dato' Zubir berkata, media adalah elemen penting dalam mencorakkan kehidupan dan membentuk masyarakat. "Jika sebelum ini, tumpuan media hanya terhad kepada media cetak atau media elektronik, tetapi kini sudah menjangkau ke tahap lebih tinggi iaitu media alaf baharu. "Melalui media juga, pemikiran masyarakat mampu diubah. Malah paling membimbangkan, ianya mampu menjatuhkan negara, sebaliknya juga boleh membangun serta memakmurkan negara," katanya. - teganukite.net |