Menteri Besar ketika berucap di depan pemimpin dan ketua jabatan sempena program turun padang ke Daerah Kuala Terengganu, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.
Rakyat yang memohon Skim Khas Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) untuk pembinaan rumah kediaman dijangka akan menerima tawaran tanah itu pada penghujung tahun ini.
Lebih 45,000 permohonan atas talian menerusi laman sesawang http://tanahrtb.terengganu.gov.my diterima kerajaan negeri sejak ia dibuka kepada orang ramai mulai 2 Ogos 2017 sehingga 31 Ogos 2017.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, semua permohonan itu sudah selesai ditapis dan proses memanggil pemohon bagi menjalani temuduga akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Kita sudah selesai membuat penapisan dan dalam masa terdekat proses temuduga akan dibuat. Jadi, selepas ini mana-mana pemohon yang berjaya dalam temuduga akan terus dibawa ke mesyuarat majlis daerah sebelum ke Mesyuarat (Mingguan) Exco untuk kelulusan.
“Saya jangka pada Disember ini kita akan membuka tawaran kepada pemohon yang berjaya memohon program tanah kosong (RTB) kediaman baru-baru ini,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Turun Padang Menteri Besar Terengganu Ke Daerah Kuala Terengganu, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail, Pengarah Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) Terengganu, Dato’ Mohd Akil Mat dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Dato’ Mohd Yasim Awang.
Ahmad Razif berkata, PTG juga akan mengenal pasti tanah kosong yang baharu memandangkan permohonan yang diterima lebih 45,000, berbanding tanah kosong yang dikenalpasti serta ditawarkan sebelum ini hanya lebih 5,000 lot.
Tanah kosong berkenaan melibatkan Setiu (3362), Dungun (1332), Kemaman (928), Kuala Terengganu (109),Marang (71), Besut (69), Hulu Terengganu dan Kuala Nerus masing-masing, 34 lot.
“InsyaAllah dalam masa terdekat kita juga akan mengumumkan tanah-tanah yang kosong yang boleh dipohon oleh rakyat yang memerlukan kerana kita membuka Skim Khas RTB dari semasa ke semasa bergantung kepada jumlah lot tanah baharu yang dikenal pasti,”katanya.
Menurut Menteri Besar lagi, PTG dengan Pejabat Perhutanan Negeri juga juga akan mengenal pasti kawasan pembalakan yang sudah dikosongkan sebagai hasil negeri dan lokasi yang berdekatan dengan akses jalan raya untuk dijadikan RTB bagi memberi peluang kepada lebih ramai anak Terengganu memiliki satu lot tanah kediaman.
Dalam pada itu, Ahmad Razif dijadualkan akan mengadakan program turun padang ke setiap daerah pada setiap Isnin bagi bersemuka dan mendapatkan maklum balas dengan pegawai di seluruh jabatan negeri dan daerah serta pemimpin masyarakat mengenai permasalahan rakyat serta projek `touch point’ yang boleh membantu rakyat di seluruh Terengganu.
Tambahnya, program turun padang akan datang juga akan ditambah baik termasuk mewujudkan `free market’ atau tabbaruk supaya dapat memberi manfaat kepada rakyat yang memerlukan dan memupuk amalan bersedekah di kalangan rakyat yang berkemampuan.