Hamidun menyerahkan replikat cek zakat perniagaan TM Terengganu berjumlah RM225,141 kepada Shaikh Harun yang mewakili Maidam di Pejabat Miadam, hari ini. Foto oleh: Tg Mohd Syamim Tg Ismail
Telekom Malaysia (TM) Terengganumenyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM225,141 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Penyerahan replika cek zakat tersebut disempurnakan oleh Pengurus Besar Negeri TM Terengganu Hamidun Ismail kepada Yang Dipertua Maidam, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail.
Hamidun memberitahu, zakat perniagaan yang diserahkan TM Terengganu itu selepas mengambil kira keuntungan daripada hasil perniagaan sepanjang 2016.
“Alhamdulillah, jumlah sumbangan zakat perniagaan TM Terengganu setiap tahun sepanjang tempoh lima tahun terakhir ini semakin meningkat.
“Saya percaya ini berkat pelanggan TM sendiri, Insya-Allah kita akan manfaatkan segala perbelanjaan yang dibuat oleh mereka, untuk kita keluarkan lebih banyak lagi zakat pada masa akan datang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan TM Terengganu kepada Maidam di Pejabat Maidam, hari ini.
Jumlah zakat perniagaan yang diserahkan oleh TM Terengganu kepada Maidam sebanyak RM128 ribu pada 2014 dan meningkat kepada RM179 ribu pada 2015. - teganukite.net