Sunday 20 November 2016

HULU TERENGGANU: Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) mampu merancakkan ekonomi dan pembangunan negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata pembinaan ECRL bukan sahaja memberi manfaat dalam bidang perindustrian, pelancongan dan pelaburan malah sebagai antara transformasi ke arah pembangunan negeri.

"Projek ini akan memberi manfaat kepada semua sama ada untuk industri, penumpang, bekalan mahupun pelancongan. Jadi, untuk negeri Terengganu, ia akan memberi lonjakan ekonomi utama dan kita sasarkan untuk transformasi ekonomi negeri dan pertingkatkan peluang pekerjaan kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian dan penyerahan kunci Kompleks Qaseh OKB Kampung Paya Besar di sini, pada Ahad.

Tengku Putera berkata pembinaan projek tersebut juga dapat menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya yang berlaku terutamanya pada musim perayaan.

"Yang penting sekarang ini bagaimana kita manfaatkan tanah di kawasan sekitar tidak dijual kepada orang lain dan kita bersedia untuk buat kemajuan dan menerima infrastuktur yang bakal dibina," katanya.

Menurut Tengku Putera, pihaknya kini dalam usaha mengubah kawasan tapak industri yang berada berhampiran jajaran keretapi kepada taman industri.

"Kita juga berusaha untuk mengubah tapak industri menjadi taman industri di beberapa daerah dan kawasan termasuk Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Berang, Ajil, Marang hingga ke Mak Lagam, Kemaman yang berada dalam jajaran keretapi untuk menjadi kawasan perindsustrian yang lebih tersusun," katanya.

Beliau berkata diharapkan kawasan berkenaan akan menjadi tumpuan pelaburan sekali gus menjana pendapatan tinggi kepada penduduk dan peluang pekerjaan bagi meningkatkan ekonomi setempat.

Tengku Putera berkata kerajaan negeri menerima permohonan pelaburan bernilai lebih RM2 bilion dalam bidang perindustrian dan perkhidmatan pada tahun ini.
Beliau berkata permohonan pelaburan itu bertujuan untuk memulakan tapak kerja dalam bidang perkhidmatan, selain pertambahan hotel serta resort.

Semasa pembentangan Bajet 2017, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan ECRL secara berfasa, melibatkan laluan dari Pelabuhan Klang, ITT Gombak, Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kerteh, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan berakhir di Tumpat.

Pembinaan ECRL dijangka bermula pada tahun depan dan siap pada 2022 dengan anggaran kasar kos RM55 bilion. -- BERNAMA

Demi Masa

Kategori Artikel

Arkib Blog

Jumlah Pelawat

1TeCC. Powered by Blogger.

Makluman

Promosi

Artikel Pilihan