Wednesday 11 July 2018

Keadaan tangki yang musnah sepenuhnya dalam kejadian itu.
                   Operasi pemadaman kebakaran tangki simpanan minyak mentah milik Kemaman Bitumen Company (KBC) yang berakhir semalam cukup melegakan kira-kira 2,000 penduduk sekitar kejadian itu.

Bagi mereka, kejadian yang berlaku pada petang  Khamis lalu cukup menakutkan  kerana menjadi tragedi terburuk pernah dialami sepanjang hidup.

Tinjauan di Kampung Bukit Kuang yang terletak kira-kira empat kilometer dari lokasi kejadian mendapati penduduk sudah mula menjalankan rutin harian mereka walaupun masih trauma dengan kejadian itu.

Kebimbangan yang melanda mereka selama tiga hari itu akhirnya reda dan membawa berita baik apabila pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri mengumumkan kebakaran pulih sepenuhnya kelmarin (Sabtu).

Puziah Jusoh
Bagi seorang suri rumah, Puziah Jusoh, 61, ketika kejadian dia di rumah bersama anak dan cucunya yang berusia lapan bulan  sebelum letupan menggegarkan rumahnya dan situasi itu amat mencemaskan mereka.

"Hari kejadian tu saya duduk di luar rumah dengan suami saya, tiba-tiba saya terkejut mendengar satu letupan kuat dan rasa bergegar di tempat saya duduk. Saya ingatkan ada kemalangan lori ke apa, lepas itu saya nampak asap tebal naik tinggi.

"Dua malam saya tidur tak lena kerana cahaya api terang di dalam bilik saya dan  saya memang takut teramat sangat kerana bimbang meletup tangki itu," katanya.

Rokiah
Seorang lagi surirumah, Rokiah Talib, 58, berkata letupan itu amat mengejutkannya dan sepanjang hidupnya tidak pernah mendengar letupan yang sekuat itu.
"Apabila dengar sahaja letupan, saya hanya kata..Allah, mati dah kita. Saya ingat ada kapal terbang yang jatuh ke apa. Saya suruh anak saya pergi tengok dekat atas jambatan, selepas itu jiran saya yang mahu pergi melihat memberitahu yang kilang tersebut terbakar," katanya.

Beberapa orang penduduk yang ditemui turut mengucapkan rasa syukur kerana keadaan sudah kembali pulih seperti biasa serta berterima kasih kepada pasukan bomba dan penyelamat di atas kecekapan mahupun ketangkasan menangani kebakaran tersebut.

Dahlan
Bagi seorang lagi penduduk, Dahlan Rantang, 58, ketika ditemui berkata, dia mengucapkan rasa syukur kerana kejadian yang menakutkan itu sudah berakhir.
"Memang lega kerana segalanya sudah berakhir dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat kerana bertungkus lumus sepanjang tiga hari ini bagi memastikan kami semua selamat," katanya.

Dalam kejadian itu,  dua buah tangki yang menyimpan simpanan minyak mentah untuk diproses menjadi minyak tar musnah sepenuhnya dalam kejadian yang dianggap terburuk dalam sejarah perindustrian Negeri Terengganu.

Selepas 64 jam operasi pemadaman dilakukan, akhirnya kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya Sabtu lalu. - teganukita.net

Demi Masa

Kategori Artikel

Arkib Blog

Jumlah Pelawat

1TeCC. Powered by Blogger.

Makluman

Promosi

Artikel Pilihan