Sunday, 14 January 2018

Ahmad Razif sempat meninjau gerai-gerai yang disediakan dalam Karnival Jom Sihat di Paya Bunga Square, Kuala Terengganu, hari ini. Foto oleh Zulkifli CW Putra.

Badan Bukan Kerajaan (NGO) disarankan membantu kerajaan negeri bagi menambah dana yang ada dalam Tabung Darul Iman (TDI) untuk membantu rakyat Terengganu yang mempunyai masalah kesihatan.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta sepanjang tahun lalu bagi membiayai TDI.

Katanya, perbelanjaan yang dikeluarkan oleh TDI kepada pesakit Terengganu yang memerlukan semakin meningkat dari hari ke hari.

"Sekarang ini perbelanjaan kita sebelum ini dalam RM500,000 dalam sebulan jadi kita perlukan lebih kurang RM6 juta dalam masa setahun.

"Tapi kebelakangan ini perbelanjaan kita sudah menjangkau RM800,000 ke RM1 juta sebulan. Jadi bermakna kita memerlukan RM12 juta sedangkan dari segi penyediaan dari kerajaan negeri adalah sebanyak RM3 juta setahun dan ditambah dengan dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) RM3 juta.

"Jadi sekarang ini kita perlu dapatkan tambahan tidak kurang dari RM6 juta dan dana ini akan sentiasa bertambah dari semasa ke semasa," katanya.


Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Jom Sihat Anjuran Lions Club Kuala Terengganu dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu di Paya Bunga Square, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu, Martin Tok dan Presiden Lions Club of Kuala Terengganu, Kee Wei Loon.

Tambahnya, kerajaan negeri kini sedang memikirkan pelbagai alternatif lain bagi menambah dana untuk TDI.

Ahmad Razif berkata antara yang mungkin akan dilakukan oleh kerajaan negeri adalah dengan menjadikan TDI lebih berdikari.

"Berkemungkinan, kita akan gabungkan atau melakukan kerjasama dengan  pihak-pihak lain termasuk Terengganu Incorporated Sdn Bhd dan GLC lain bagi menjana pendapatan kepada TDI.

"Kerana jika tidak nanti, kerajaan negeri tiada keupayaan untuk menyediakan dana yang begitu besar setiap tahun," katanya. - teganukite.net

Demi Masa

Kategori Artikel

Arkib Blog

Jumlah Pelawat

1TeCC. Powered by Blogger.

Makluman

Promosi

Artikel Pilihan