Sunday, 14 January 2018

Ghazali (dari kiri)bersama Tengku Ahmad Nadzri menarik pukat sebagai gimik perasmian program


Peserta projek berkelompok secara fertigasi di Kampung Pela,Ajil, kini menarik nafas lega apabila mendapat hasil lumayan dalam bidang ternakan ikan sangkar.

Projek di bawah peruntukan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) yang melibatkan sebanyak 10 sangkar tilapia, mengeluarkan hasil setiap bulan dengan anggaran pendapatan kasar mampu mencapai sekitar RM60,000 secara keseluruhan dengan membabitkan 10 peserta.

Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.

Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, projek itu melibatkan sebanyak 10 buah kolam yang berkapasiti 1,800 ekor benih ikan setiap kolam.

"Jumlah keseluruhan adalah sebanyak 18,000 ekor dan dianggarkan sebanyak 90 peratus atau 16,200 ekor daripada ikan akan dapat dituai atau jumlah sebanyak 5,400 kilogram(kg)

"Oleh itu peserta akan mendapat hasil sehingga RM4,320 dengan harga pasaran RM8 sekilogram melibatkan anggaran jumlah keseluruhan RM43,200.

"Sekiranya projek perintis ini berjaya kita berhasrat untuk menambahkan lagi bilangan sangkar dan peserta sebanyak 10 sangkar lagi dengan peruntukan yang sama seperti tahun sebelum ini sebanyak RM30,000,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Menuai Ikan Projek Peningkatan Ekonomi Kampung Sempena Program Jalinan Kasih Dan Jom Bantu Rakyat Wilayah Ketengah di Kampung Pela,Ajil, Hulu Terengganu, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia Dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil.

Abdul Rahman Mohamad

Seorang peserta yang ditemui, Abdul Rahman Mohamad,53, berkata projek ternakan ikan yang mula diusahakan pada Julai tahun lalu  bertujuan bagi menambahkan pendapatan peserta yang menjalankan projek pertanian secara berkelompok sejak 12 tahun lalu melibatkan tanaman seperti lada, rock melon dan mentimun.

"Kesemua peserta projek fertigasi di sini seramai 17 orang dengan keluasan kawasan pula sekitar 17 hektar. Buat masa ini, hanya lima hektar sahaja baru digunakan manakala bakinya akan diguna secara berperingkat bagi membangunkan ekonomi para peserta atau penduduk setempat.

"Setelah berjaya usaha projek pertanian tanaman, kini kita mengorak langkah ke bidang ternakan. Jika sekarang, peserta memperoleh pendapatan sekitar RM1,200 sebulan hasil pertanian, adanya projek ternakan ikan sangkar ini ia mampu meningkatkan lagi ekonomi sekurang-kurangnya RM500 sebulan.

"Ternakan ikan tilapia dalam sangkar ini projek perintis melibatkan seramai 10 peserta terpilih. Sebanyak 1,800 benih ikan telah dilepaskan Julai lalu dan dijangkakan hasilnya dapat dituai bulan Disember ini dengan anggaran hasil  enam tan atau bersamaan  pendapatan kasar RM60,000.

"Projek ini bukan sekadar mendapat peruntukan sepenuhnya daripada pihak Ketengah tetapi juga sokongan dan khidmat  daripada Pejabat Perikanan Daerah Hulu Terengganu," katanya. - teganukite.net

Demi Masa

Kategori Artikel

Arkib Blog

Jumlah Pelawat

1TeCC. Powered by Blogger.

Makluman

Promosi

Artikel Pilihan