Sunday, 21 January 2018
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu mensasarkan pengambilan anggota baru dikalangan orang asli bagi memperkasakan dan mengembangkan sayap APM dalam komuniti mereka di negeri ini.
Pengarah APM Terengganu, Lt. Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman, berkata ini selaras dengan kehendak Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Shahidan Kassim yang ingin melihat penglibatan warga ini dalam APM terutama negeri-negeri yang mempunyai komuniti ini seperti di Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Jelasnya, satu gerakan telah dilakukan oleh pihaknya untuk masuk ke Perkampungan Orang Asli Sungai Berua di Hulu Terengganu dan Hulu Besut bagi membantu mendaftarkan anggota-anggota baru di kalangan org asli dari suku-suku tertentu untuk menyertai APM Terengganu.
"Untuk peringkat awal ini, kita mendaftarkan 36 orang asli dan kita juga melantik Tok Batin Rosli Desoh di kalangan komuniti berkenaan sebagai ketua platun tersebut.
"Jadi kita akan mempergiatkan lagi usaha di Kampung Sungai Berua ini bagi memperkasakan peranan mereka...Insha Allah bukan setakat mendaftar,kita juga akan memberi sedikit sebanyak ilmu pertahanan awam kepada komuniti berkenan melalui APM daerah berkaitan kesiapsiagaan pertahanan,"katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Che Adam, anggota yang dilantik ini juga akan menjadi serampang dua mata di mana mereka juga akan menjadi mata dan telinga kepada kerajaan untuk memantau dan melihat jika adanya pencerobohan atau anasir-anasir yang tidak sihat di kawasan pedalaman.
"Jika ini berlaku, anggota ini boleh melaporkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung(J3K) ataupun Pegawai APM Daerah untuk kita membantu dari aspek kesiapsiagaan keselamatan kepada komuniti berkenaan dan juga mungkin pencegahan jika berlakunya pencerobohan di kawasan yang tidak sepatutnya di daerah tersebut,"katanya lagi.
Sementara itu Pengerusi JKKK Sungai Berua,Alias Pelong berkata pemilihan ini merupakan satu penghormatan kepada komuniti mereka yang berada jauh di pedalaman.
"Saya menyambut baik bila APM datang untuk mendaftar orang-orang saya sebagai anggota APM dan saya akan sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan turut membantu Tok Batin Rosli Desoh dan ahlinya dalam menjalankan tugas mereka,"katanya. - teganukite.net