Sunday, 21 January 2018
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Terengganu akan menganjurkan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muda GPMS Terengganu buat kali kedua pada akhir Januari ini.
Pengerusi GPMS Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, persidangan itu akan berlangsung selama dua hari di DUN Terengganu bermula 30 hingga 31 Januari ini
Jelasnya lagi, paling istimewa persidangan ini dipengerusikan sendiri oleh Yang Dipertua DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong.
"Saya dimaklumkan bahawa Dato' Zubir amat berasa gembira kerana penglibatan belia Terengganu yang bercakap mengenai fakta dan 'tidak omong kosong’ di dalam dewan mulia.
"Ini berdasarkan penyertaan pada persidangan tahun lepas yang dikatakan amat memuaskan dan semua peserta dapat memberikan hujahan yang baik serta berfakta,"ujarnya ketika dihubungi Teganukita, semalam.
Tambahnya lagi, pada persidangan kali ini, konsep yang sama seperti tahun lepas akan diteruskan iaitu seramai 32 orang yang akan terpilih sebagai wakil pembahas (ADUN Muda).
"Dan persidangan kali ini kita lebih fokuskan perbincangan untuk persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 yang tidak lama lagi.
"Selain itu, program ini dapat memberikan gambaran awal tentang prosedur sidang dewan sekali gus menanam ciri-ciri kepimpinan dalam diri belia,"katanya.
Tengku Haphiz berkata, belia yang berumur 18-35 tahun yang berminat dan berpotensi dalam kemahiran pidato bolehlah menyertai program ini dengan menghantar resume anda ke dunmudagpmsnt18@gmail.com.
Tarikh tutup permohonan pada 20 Januari 2018. - teganukite.net