Sultanah Terengganu berkenan menyampaikan anugerah Ijazah Kehormat kepada Dr Mazlan Madon kepada pembukaan Majlis Konvokesyen UMT ke-15 Sidang Pertama di Dewan Sultan Mizan, UMT, Kuala Nerus. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail
Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah teruja dengan perkembangan kampus baharu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Bukit Kor, Marang.
Baginda yang juga Canselor UMT bertitah, pemilikan tapak baharu Kampus Bukit Kor seluas 242 hektar itu, bukan sahaja dapat mengatasi masalah kepadatan di kampus sedia ada, tetapi juga membolehkan UMT terus merancang untuk perkembangan dan penempatan bidang-bidang pengajian baharu di masa akan datang.
Titah baginda lagi, sebagai universiti yang bernaung di bawah payung negeri, baginda berharap pengurusan universiti merancang sebaik mungkin, agar pembangunan Bukit Kor akan menjadi mercu tanda UMT dan juga Terengganu.
"Sebagai Canselor, beta akan memberi sokongan dan dorongan, demi mengangkat universiti ini menjadi universiti awam terunggul dalam negara, serta menjadi rujukan bidang penyelidikan di peringkat global. Justeru, beta menyeru kepada semua warga UMT, agar dapat bersatu hati dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab mendidik anak bangsa," titah baginda dalam ucapan pembukaan Majlis Konvokesyen UMT ke-15 Sidang Pertama, di Dewan Sultan Mizan, UMT, Kuala Nerus, hari ini.
Turut berangkat Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan anakanda baginda, Tengku Fatimatuz Zahra’.
Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmaf Razif Abd Rahman dan isteri, To’ Puan Seri Halina Zakaria; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail dan Naib Canselor UMT, Prof Dato’ Dr Nor Aieni Mokhtar
Baginda juga berbangga dengan peningkatan jumlah graduan pasca siswazah seramai 204 orang, berbanding 165 orang pada tahun lepas.
"Ini merupakan satu kejayaan yang membanggakan dan membuktikan kecemerlangan pelajar, penyeliaan para pensyarah dan pengurusan pengajian siswazah.
|