Kerajaan negeri menerima lebih 100,000 permohonan bagi mendapatkan Rumah Mampu Milik (RMM) di negeri ini berbanding hanya 8,065 unit yang ditawarkan di seluruh Terengganu setakat ini.
Permintaan yang melebihi penawaran itu menyebabkan kerajaan negeri terpaksa memberhentikan sementara proses permohonan dan pendaftaran rumah secara dalam talian dan hanya akan dibuka semula apabila perumahan yang dirancang itu siap dibina.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee berkata, sehingga kini, sebanyak 7,185 unit rumah siap dibina dan mula diagihkan secara peringkat-peringkat sejak tiga tahun lalu, manakala 880 unit membabitkan tiga projek masih dalam pembinaan.
“Memandangkan kerajaan melalui Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sudah menerima lebih 100,000 permohonan, jadi buat masa ini kita tutup dahulu pendaftaran bagi menyelesaikan keperluan tersebut.
“Rakyat tidak perlu bimbang kerana masih ada peluang untuk memiliki rumah kerana Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sudah menyatakan persetujuan untuk membina 2,151 unit rumah di seluruh Terengganu menerusi Program Rumah Idaman Rakyat (RIR) dalam tempoh tiga tahun dari sekarang,” katanya.
Mohd Jidin berkata, projek itu melibatkan sejumlah 1,403 unit RIR di Kertih, Kemaman, diikuti Kuala Ping, Hulu Terengganu (248), Tok Jembal, Kuala Nerus (271) dan Santong, Dungun sebanyak 229 unit RIR.
Menurut beliau lagi, projek yang dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri bagi memenuhi keperluan perumahan rakyat dengan tanah disediakan oleh kerajaan, manakala SPNB membangunkan RIR berkenaan.
“Langkah itu sebagai usaha untuk mencapai hasrat Kerajaan Terengganu membina kira-kira 10,000 unit perumahan rakyat untuk golongan sasar terutama yang berpendapatan rendah dalam tempoh lima tahun,”katanya - teganukite.net