Dato' Din Adam ketika memberi respon kepada tetamu dalam Program Tautan Budi Siri Kedua anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, Sura, Dungun, malam tadi. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim
Kerajaan akan memastikan suara dan aspirasi belia terutama kehendak mereka supaya diadakan platform beriadah seperti litar lumba dan gelanggang sukan dapat dipenuhi, namun semua kemudahan itu hanya akan dilaksanakan selepas mengambil kira semua aspek serta kepentingan ramai.
Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun, Dato’ Din Adam berkata, sebagai individu yang pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri pada 2004 hingga 2008 lalu, beliau sangat memahami pandangan dan impian yang dizahirkan golongan itu bagi memenuhi masa dan jiwa muda mereka.
“Kerajaan sentiasa bersama belia kerana menyedari hakikat golongan itu pada hari ini adalah cerminan negara pada masa depan dan mereka perlu diberi peluang mencorak kehidupan dengan lebih baik dan cemerlang mengikut landasan yang betul.
“Bagaimanapun, kita perlu juga melihat kesan sampingan daripada apa yang kita mahu laksanakan itu. Sebagai contoh, jika kita bangunkan litar lumba, apa kesannya kepada masyarakat sekitar kerana kita mahu hidup dalam keadaan selesa dan menjamin kesejahteraan semua pihak,”katanya sebagai mengulas permintaan seorang belia yang mahu supaya Dungun dibangunkan satu lokasi bagi litar lumba motosikal.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel di Program Tautan Budi Siri Kedua anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, Sura, Dungun, malam tadi.
Turut sama bertindak sebagai panel pada majlis itu, Pengarah UKOM, Dato’ Muda Mamat dan Pegawai Agama Kepada Menteri Besar, Kamalrudin Omar.
Seramai 250 belia dari sekitar Dungun turut hadir sebagai tetamu di majlis dialog itu.
Menurut Din, ketika menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sebelum ini, beliau turut berdepan dengan masalah remaja yang berlumba secara haram di jalanan sehingga menggugat ketenteraman awam.
Beliau bersama pasukan penguatkuasa dan Polis Diraja Malaysia turun padang bagi melihat sendiri masalah itu dan tindakannya pada ketika itu lebih kepada memberi pengajaran berbanding mengenakan hukuman kepada pesalah yang ditahan.
“Ketika zaman saya (Exco) dahulu, lebih 1,000 motosikal berhimpun dan berlumba terutama di jalan Kuala Berang, Jalan Chendering dan Taman Semarak (Kuala Terengganu). Saya bersama ketua polis ketika itu turun bagi memberi pengajaran kepada mereka yang bersalah dan mahu mereka tahu bahawa perbuatan mereka sangat menyalahi undang-undang, mengundang kejadian yang buruk serta menjejaskan kesejahteraan awam,”kata beliau lagi.
Tambahnya lagi, segala keperluan dan kehendak semua belia juga hanya akan dapat dipenuhi jika kerajaan yang mentadbir itu mendapat mandat ketika pilihan raya, selain perlunya penyatuan dari pucuk pimpinan sehingga ke akar umbi bagi merealisasikan setiap impian yang mampu memberi manfaat bersama.
“Kekuatan masa depan apabila orang belia bersama dengan saya dan kita cuba hindari masalah, sebaliknya bersatu untuk menyelesaikan masalah dan mencari jalan positif. Saya yakin dan sangat memahami, pengaruh belia cukup besar dalam kita bersama-sama mencorakkan pembangunan negeri mahu pun negara,”katanya. - teganukite.net