Sunday 20 November 2016


KUALA TERENGGANU: Terengganu menyasarkan kedatangan 5.5 juta pelancong sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017, dengan keutamaan kepada pelancong yang tinggal lebih lama dan berulang. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata seramai 4.7 juta pelancong berkunjung ke negeri ini tahun lalu, dengan 3.9 juta daripadanya adalah pelancong domestik manakala 850,000 lagi pelancong asing. Walaupun keadaan ekonomi global agak suram, katanya, sektor pelancongan masih menunjukkan peningkatan terutama industri domestik, sesuai dengan saranan kerajaan supaya rakyat berbelanja dalam negara. "Tahun lalu, kita meraih pendapatan RM4.65 bilion daripada pelancong domestik. Tahun depan, kita sasarkan kedatangan 5.5 juta pelancong yang akan tinggal lebih lama dan berulang kerana mereka bakal memberi sumbangan besar kepada peningkatan ekonomi negeri," katanya selepas Prapelancaran 'Beautiful Terengganu 2016', di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Osman Muda dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd Jidin Shafie. Beautiful Terengganu adalah penjenamaan semula program Pesona Terengganu yang dilancarkan pada 29 Oktober hingga 2 November 2015 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan akan berlangsung pada 23 hingga 27 Mac di Plaza Angsana, Johor Bahru. Ahmad Razif berkata, Beautiful Terengganu yang menghimpunkan lebih 100 usahawan dari negeri ini adalah aktiviti promosi utama pelancongan negeri dan menyasarkan kedatangan lebih 100,000 pengunjung. Pelbagai kelainan dan pengubahsuaian dilakukan pada program ini selepas beberapa penilaian terhadap penganjuran Pesona Terengganu tahun lalu. "Plaza Angsana dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana ia menjadi tumpuan penduduk Johor dan Singapura. "Kali ini, kita lakukan pelbagai pembaharuan dan membawa usahawan terkenal serta penggiat pelancongan bagi meminimumkan perbelanjaan kerajaan negeri. "Selain itu, kita juga mengadakan pertandingan makanan tradisional bagi memastikan 30 gerai T'Kitchen di sana nanti benar-benar berkualiti dan harganya juga berpatutan," katanya.

Sumber- Berita Harian


Demi Masa

Kategori Artikel

Arkib Blog

Jumlah Pelawat

1TeCC. Powered by Blogger.

Makluman

Promosi

Artikel Pilihan