Ariffin ketika menjawab soalan lisan Wan Hapandi Wan Nik (PAS-Sura) dalam persidangan DUN |
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, langkah membangunkan kemudahan pelancongan termasuk kos pembinaan jeti kira-kira RM2 juta serta beberapa kemudahan sokongan itu sebagai usaha memajukan kawasan pelancongan di pesisir Sungai Dungun.
Menurut Ariffin, lokasi yang dikenalpasti akan dijadikan kawasan tarikan pelancongan ialah bermula daripada jeti LKIM sehingga ke Jambatan Lama Sungai Dungun.
“Manakala panjang ke pantai pula untuk pembangunan kawasan tarikan pelancongan melibatkan kawasan sepanjang 5.76 kilometer bermula dari Kampung Tanah Lot ke Kampung Sura Hujung,"katanya.
Beliau yang juga ADUN Alur Limbat berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Wan Hapandi Wan Nik (PAS-Sura) dalam persidangan DUN Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Menjawab soalan tambahan mengenai antara bentuk projek yang akan dilaksanakan di kawasan itu, Ariffin berkata, bagi pembangunan di Sungai Dungun yang pertama sekali ialah menaik taraf tempat meletak kenderaan, arca, dataran, pondok rehat serta laluan pejalan kaki.
“Kawasan memancing pula kita akan bangunkan termasuk jeti,tempat meletak kenderaan, restoran, pintu masuk, kawasan sukan dan riadah.
“Bagi Rumah Api Teluk Bidara ianya akan dinaik taraf termasuk kawasan rekreasi, perabot taman, kawasan penginapan, arca dan kiosk,” ujarnya. - teganukita.net