Thursday 12 July 2018

Anggota Bomba sedang melakukan pemantauan di tangki minyak yang musnah
Kilang penapisan Kemaman Bitumen Company (KBC) Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kemaman yang mengalami kebakaran tiga tangki minyak mentahnya akan beroperasi semula selepas mendapat kebenaran daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sanjay Groover berkata, KBC mempunyai sebanyak 30 tangki dengan kawasan terjejas mempunyai enam tangki dan hanya dua tangki yang terjejas sementara satu lagi berjaya diselamatkan kerana hanya terbakar pada bahagian bumbung.

"Tangki-tangki lain yang berada di kawasan (terjejas) tersebut akan diperiksa oleh konsultan yang diiktiraf. Kita juga akan memanggil pakar untuk memeriksa dari segi integriti, keselamatan tangki yang tinggal dan saluran paip berdekatan.

"Kita akan membiarkan mereka melakukan kerja-kerja mereka kerana ini amatlah penting bagi menggerakkan operasi kilang ini dan kita tidak mahu perkara yang sama seperti apa yang terjadi sekarang akan berulang kembali," katanya.

Menurutnya, selepas disahkan selamat dan boleh meneruskan operasi, pihaknya akan menggunakan kesemua tangki dalam kawasan kilang ini semula termasuk tangki yang  tidak terjejas dalam tragedi itu.
Bagaimanapun, Sanjay memberitahu, buat masa sekarang pihaknya tidak membenarkan semua pekerja untuk memasuki kawasan itu kecuali terlibat dalam operasi pemadaman atau anggota sokongan.

"Kita  tidak mahu mengambil risiko yang boleh menjejaskan nyawa pekerja kami kerana apa-apa pun boleh terjadi sekarang dan apabila  pihak bomba sudah memberi kebenaran, saya akan benarkan pekerja saya masuk dan kita akan mulakan operasi semula.

"Kami kesal dengan apa yang terjadi dan ianya merupakan satu sejarah bagi syarikat ini sepanjang beroperasi di kawasan ini, " katanya. 

Menurut beliau, semasa kebakaran berlaku KBC sedang menangguhkan operasi sejak 16 Jun disebabkan kekurangan bekalan minyak mentah.

Kebakaran berkenaan berlaku kira-kira jam 6.15 petang Khamis lalu sebelum ia berjaya dipadamkan sepenuhnya selepas hampir 49 jam operasi iaitu pada jam 6.40 petang Sabtu dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1 petang Ahad lalu. - teganukita.net

Demi Masa

Kategori Artikel

Arkib Blog

Jumlah Pelawat

1TeCC. Powered by Blogger.

Makluman

Promosi

Artikel Pilihan