Isa Seman menunjukkan sebahagian akar kayu yang sentiasa menjadi pilihan pelanggannya. |
Jika dilihat pada wajahnya, mungkin ramai tidak menyangka warga emas yang sudah melewati usia 66 tahun ini masih gagah mencari rezeki dengan menjual akar kayu yang sering digunakan dalam kaedah perubatan tradisional.
Isa Seman, datuk kepada enam cucu yang berasal dari Kampung Kuala Dura, Telemong tetap bersemangat menjual akar kayu kepada penduduk setempat kerana yakin terhadap khasiatnya dalam perubatan cara lama.
Katanya, ada yang memandang negatif dan memperlekehkan tetapi dia tetap dengan keyakinannya terhadap hasil hutan yang dikatakan sangat bernilai dan tidak ramai mengetahuinya tentang rahsia yang terkandung dalam setiap tumbuhan yang wujud di muka bumi ini.
Jelasnya lagi, dia membeli akar kayu daripada orang tengah yang mendapatkannya daripada masyarakat Orang Asli dan perlu melalui proses menjemur sehingga satu minggu sebelum dijual.
"Pak cik dah jual akar kayu sejak 50 tahun yang lalu dan ada juga orang luar dari sini datang mencarinya selepas mencuba sendiri khasiat akar kayu yang pak cik jual.
"Antara akar kayu yang biasa pakcik jual adalah akar penarik yang boleh digunakan untuk rawatan resdung, tunjang bumi untuk penyakit darah tinggi dan cendawan hutan," katanya ketika ditemui dirumahnya di Kampung Kuala Dura, Telemong, baru-baru ini.
Beliau yang juga seorang petani menjaja akar kayu tersebut menggunakan motosikalnya ke kedai-kedai makan termasuk menjualnya di rumah kepada pelanggan yang datang dari jauh.
"Kalau dahulu pendapatan boleh mencecah RM1,500 sebulan, sekarang sekitar RM500 saja sebab sambutan dah jauh berbeza berbanding dulu mungkin perubatan moden lebih dipercayai, tetapi kerana minat, pakcik tetap jual juga.
"Isteri pakcik, Fatimah Abdullah, 60, turut membantu dengan menghasilkan minyak kambing gunung dengan campuran tertentu seperti kunyit emas putih, emas merah dan rempah ratus tertentu yang mempunyai khasiat tersendiri,"ujarnya lagi.
Isa berkata, niatnya di samping ingin mengisi masa lapang kerana kudrat yang semakin terbatas, dia juga ingin memberi pendedahan kepada masyarakat kini mengenai kelebihan perubatan tradisional yang diamalkan masyarakat dulu dengan menggunakan akar kayu sebagai penawar.
“Walaupun anak pernah menasihati saya berhenti menjual akar kayu, tetapi kerana minat saya teruskan berikutan masih ramai yang menggunakan akar kayu sebagai kaedah alternatif merawat penyakit,” katanya. - teganukita.net