Thursday, 11 January 2018

Ahmad Razif berlatar belakangkan kapal terbang Air Asia dengan paparan Beautiful Terengganu. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Kerajaan negeri membelanjakan RM2 juta untuk mempromosikan Terengganu dalam dan luar negara melalui paparan iklan pada kapal terbang Air Asia.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, paparan beridentiti negeri serta logo Transformasi Terengganu Baharu (TTB) yang menarik dan bewarna-warni itu, secara tidak langsung mampu menjadi tarikan baharu yang dapat mempromosikan negeri ke peringkat antarabangsa.

Katanya, inisiatif kolaborasi antara kerajaan negeri dengan Air Asia itu dapat menjana sektor pelancongan sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi negeri.

"Kita akan memperkenalkan Terengganu di mata dunia di atas kehebatan negeri ini yang mempunyai pantai, pulau-pulau dan tasik besar di Tasik Kenyir selain ada kekuatan dari segi makanan serta budaya.

"Ini merupakan satu kekuatan yang boleh kita pasarkan Terengganu ke seantero dunia. Kita akan fokus kepada pelancongan kerana ianya berganda. Contohnya, dengan belanja RM1, kita akan dapat RM3," katanya.


Beliau ditemui pemberita sempena Majlis Ketibaan Penerbangan Air Asia Berpaparan Beautiful Terengganu Malaysia di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus, hari ini.

Turus hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Zubir Embong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail.

Ahmad Razif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri berkata, buat permulaan, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta untuk tempoh dua tahun bagi paparan Beautiful Terengganu di sebuah kapal terbang milik Air Asia.


"Selain itu, di bahagian penyimpanan barang di dalam kapal terbang turut tertera pelancongan Negeri Terengganu. Kemudian di hadapan kerusi juga turut mempunyai iklan dan akan bertukar dari semasa ke semasa.

"Majalah yang ada dalam kapal terbang juga akan tertera tentang pelancongan Terengganu. Jadi ini adalah merupakan satu lagi transformasi dilaksanakan," katanya. - teganukite.net

Demi Masa

Kategori Artikel

Arkib Blog

Jumlah Pelawat

1TeCC. Powered by Blogger.

Makluman

Promosi

Artikel Pilihan