Memorandum Persefahaman Penerbitan Drama Megat Panji Alam di antara kerajaan negeri dan Al Hijrah Media Corporation Foto Harish Fadzillah Kassim
Kerajaan negeri bakal memperolehi pulangan bernilai RM3.18 juta melalui penajaan RM1.3 juta drama bersiri “Megat Panji Alam” yang bakal disiarkan melalui saluran TV Al Hijrah tidak lama lagi.
Drama bersiri 26 episod itu bukan sahaja mengupas peristiwa sejarah Terengganu dan sejarah Kesultanan Melaka di dalam versi sebenar malah menonjolkan pelbagai tempat menarik dan lokasi bersejarah di Terengganu
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihaknya dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan beberapa pihak berkaitan mengambil masa kira-kira empat tahun bagi mengkaji keberkesanan drama itu terhadap orang ramai khususnya masyarakat luar Terengganu.
Katanya, melihat kewajarannya, kerajaan negeri bersetuju menerbitkan drama itu melalui kerjasama Al Hijrah Media Corporation dengan tajaan RM1.3 juta.
"Pendekatan itu mampu dijadikan sebagai iktibar selain memperbetulkan persepsi masyarakat, membuat olahan ketepatan dan ketulenan sejarah Megat Panji Alam termasuk kostum dan senibina zaman tersebut,"katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Memeterai Memorandum Persefahaman Penerbitan Drama Megat Panji Alam di antara kerajaan negeri dan Al Hijrah Media Corporation di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, petang ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Al Hijrah Media Corporation, Dato’ Izelan Basar.
Ahmad Razif berkata, pihaknya akan memastikan lokasi penggambaran yang akan dijalankan dalam tempoh terdekat itu mempunyai elemen tarikan tersendiri.
“Perkara itu termasuk menonjolkan sudut keagamaan, pelancongan, seni ukiran, kostum dan fabrik busana, seni dan budaya, keindahan alam semulajadi, makanan tradisional, flora, fauna dan warisan Terengganu.
"Penerbitan drama itu pasti akan berlaku transformasi ekonomi khususnya dalam sektor pelancongan, selain meningkatkan imej dan keunikan Terengganu Iman melalui promosi siaran media elektronik,”katanya, - teganukite.net