Permohonan bantuan Tahun Baru Cina 2018 melalui atas talian mula dibuka kepada masyarakat Cina yang berkelayakan mulai semalam berakhir 19 Januari depan.
Mereka yang dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya, warga emas, ibu tunggal dan orang miskin layak memohon sekiranya berpendapatan tidak melebihi RM3,000 berbanding hanya RM2,500 sebelum ini.
Syarat lain anak jati Terengganu dan perlu mendaftar mengundi. Permohonan boleh dibuat melalui pautan iDANATTB di laman web danattb.terengganu.gov.my
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zainal Abidin Hussin berkata, permohonan yang dibuka selama 12 hari menerusi atas talian itu hanya melibatkan permohonan baharu sahaja iaitu bagi mereka yang tidak pernah memohon sebelum ini.
Katanya, selain itu pemohon juga perlu mengemaskini maklumat peribadi seperti bujang kepada berkahwin, menambah atau mengurang jumlah tanggungan dan bertukar alamat.
“Individu yang tidak mahir menggunakan internet atau komputer boleh ke Pusat Bestari.Com berdekatan di Dewan Undangan Negeri masing-masing.
“Pembahagian baucer yang diselaraskan oleh pejabat daerah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung di kawasan masing-masing kepada penerima akan dijalankan bermula 5 Februari,” katanya kepada Teganukita
Selain itu, penebusan baucer dijangka boleh dibuat di Bank Simpanan Nasional pada 5 Februari dan berakhir 5 Mei 2018. - teganukite.net