Monday, 6 November 2017

 Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang (dua dari kiri)  menyampaikan hadiah  Pertandingan Akhir dan Majlis Penyampaian Hadiah Terengganu-Exxon Mobil Mathemathics Innovation Challenge (TexMIC) dan Spark Your Creativity Challenge (SYCC) . Foto Zulkifli C W Putra 

Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menyifatkan 2017 sebagai tahun kemenjadian murid di Terengganu  apabila  melakar lebih 70 kejayaan serta pencapaian terbaik di peringkat nasional dan antarabangsa.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin, berkata antara kejayaan besar yang berjaya dicapai melalui pertandingan inovasi menerusi Program Sains Teknologi Matematik (STEM).

“Jika dikira sekali dengan penyertaan dalam bidang sukan, kita berjaya capai lebih 70 kejayaan dengan lebih 10 pencapaian terbaik di peringkat antarabangsa.

“Tahun ini hasil inovasi pelajar dalam STEM juga menunjukkan peningkatan ketara berbanding dua tahun lalu iaitu pada 2015 dan 2016 malah boleh dikatakan STEM sekolah di Terengganu telah merangkul  lebih 30 kemenangan di kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pertandingan Akhir dan Majlis Penyampaian Hadiah Terengganu-Exxon Mobil Mathemathics Innovation Challenge (TexMIC) dan Spark Your Creativity Challenge (SYCC) di Pusat Sains dan Kreativiti (PSKT), Kampung Laut, Kuala Terengganu, semalam.

Program itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang 

Shafruddin berkata, kejayaan dalam kemenjadian murid serta melahirkan sekolah berkualiti sejajar dengan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMG2) serta bertepatan dengan falsafah pendidikan dan hasrat Transformasi Terengganu Baharu (TTB).

“Bukan mudah untuk melakar kejayaan di peringkat antarabangsa, dan usaha ini dibuktikan dengan kejayaan pelajar kita mencapai lebih 10 kemenangan di peringkat antarabangsa menerusi pertandingan inovasi dan sukan.

“Faktor ini mendorong ExxonMobil bersetuju menaja RM50,000 kepada satu pasukan inovasi dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Batu Rakit bagi pertandingan STEM di Beijing, China November ini,” katanya.

Selain itu, Shafruddin berkata, kerajaan juga bersetuju memperuntukkan RM20,000 bagi dua buah sekolah yang akan menyertai pertandingan robotik di World Robot Olympiad di Costa Rica pada 10 hingga 12 November ini.

“Setiap sekolah akan menghantar lima wakil termasuk seorang guru bagi pertandingan itu, kesemua mereka perlu dapatkan dana sehingga RM35,000 bagi menampung perbelanjaan termasuk kos pengangkutan dan tempat tinggal sepanjang di sana.

“Alhamdulillah, dengan sumbangan ini, mereka akan berjaya menyertai pertandingan itu dan kita harap membawa khabar gembira bagi perkembangan teknologi dalam inovasi STEM di negeri ini yang mana merupakan negeri terbanyak menghantar penyertaan,” katanya. - teganukite.net

Demi Masa

Kategori Artikel

Arkib Blog

Jumlah Pelawat

1TeCC. Powered by Blogger.

Makluman

Promosi

Artikel Pilihan