Seramai 300 jemputan termasuk ibu bapa dan guru sekolah di Daerah Kemaman turun memberi sokongan dan menyaksikan Persembahan Lantai Tari Cilik di Padang Astaka Kemaman, kelmarin.
Pengurus tarian kumpalan Dshine Azizah Abdullah, 41, dari Dungun berkata, tujuan persembahan itu adalah untuk mencungkil bakat anak-anak kecil dan peringkat kanak-kanak di Kemaman.
"Dengan adanya persembahan ini kita semua dapat tahu bahawa anak-anak kecil ini sebenarnya ada bakat seni yang mampu diasah serta ditonjolkan kepada masyarakat.
"Terdapat tujuh buah sekolah di Kemaman yang terlibat dalam persembahan pada malam ini dengan variasi seni dan persembahan yang ternyata berjaya menguja dan menghiburkan tetamu terutama keluarga masing-masing yang datang memberi sokongan moral," katanya.
Turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Kemaman, Mohd Fikri Ibrahim yang merasmikan program itu.
Menurut Azizah, persembahan pada malam itu melibatkan kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun.
"Persembahan ini juga merupakan gabungan anak-anak seni Kemaman dan saya berharap agar bakat mereka tidak terhenti di sini, malah boleh ke peringkat seterusnya pada masa akan datang.
"Bagi penutup persembahan pada malam ini, ketujuh-tujuh buah sekolah bergabung untuk membuat persembahan bersama dengan iringan tiga buah lagu iaitu lagu Medley, 1Malaysia dan Gemuruh dan semua murid diberi sijil penyertaan manakala Azizah diberi cenderahati," katanya.
Antara sekolah yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Ceneh Baru, SK Ceneh Baru 2, SK Ibok, SK Seri Gelugor, SK Rantau Petronas, SK Kijal dan SK Air Jernih. - teganukite.net