Sebahagian dari rakyat Terengganu yang menyambut ambang kemerdekaan ke-60 di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.
Lebih 5,000 orang membanjiri perkarangan Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu bagi bagi sama-sama menyambut malam ambang kemerdekaan 2017
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, To' Puan Seri Halina Zakaria tiba pada jam 11.30 malam. Sebelum menunggu detik 12 tengah malam, Ahmad Razif dalam ucapannya berkata rakyat Malaysia amnya bersyukur dengan apa yang telah negara kecapi.
"60 tahun bukanlah satu jangkamasa yang panjang. Tetapi dalam umur yang sebegini singkat kemerdekaan sebuah negara seperti Malaysia, kita telah berjaya capai satu tahap yang dibanggakan sehingga menjadi contoh teladan khasnya di kalangan negara-negara Islam.
"Kita sewajarnya merasa bersyukur kerana telah dilahirkan dalam sebuah negara yang telah merdeka. Dan lebih penting, kita sewajarnya merasa bersyukur kerana telah berjaya sama-sama mengisi kemerdekaan dengan begitu berjaya," katanya. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail, Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Zubir Embong; barisan exco kerajaan negeri dan wakil-wakil rakyat serta pegawai-pegawai kerajaan.
Acara dimulakan dengan perarakan masuk Jalur Gemilang oleh 30 orang anggota Rejimen 512 Askar Wataniah sebelum dinaikkan oleh pasukan simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia.
Tepat detik 12 malam, berkumandang lagu Negaraku diikuti oleh laungan keramat 'Merdeka' yang diketuai oleh Ahmad Razif, barisan Exco kerajaan negeri dan orang ramai yang memenuhi perkarangan dataran itu sebanyak tiga kali. Sejurus selepas laungan itu, bergema pula lagu-lagu patriotik diiringi oleh tembakan bunga api di kawasan tersebut selama hampir lima minit. - teganukite.net |