Salwa Najmuddin ketika ditemubual di Wisma Darul Iman. Foto oleh Tg Syamim Tg Ismail.
Permohonan bagi Skim Khas Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Rumah yang melibatkan 5,939 lot tanah di seluruh negeri terbuka kepada rakyat Terengganu, mendapat sambutan amat baik dan sangat dialu-alukan.
Sebelum ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman dalam sidang media di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada 2 Ogos lalu menyatakan bahawa golongan yang layak untuk memohon tanah tersebut mestilah rakyat Terengganu yang berusia 21 tahun ke atas, telah berkahwin dan berpendapatan tidak lebih RM3,500.
Beliau juga mengumumkan bahawa 50 peratus jumlah tanah tersebut akan diberikan kepada golongan muda 21 tahun ke atas dan 50 peratus lagi diagihkan kepada mereka yang berkelayakan berusia 41 tahun ke atas.
Bagi kakitangan Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Terengganu, Salwa Najmuddin, 33, berkata Skim Khas RTB ini sangat bagus dan membela nasib mereka yang masih belum mempunyai tanah serta mahu membina kediaman sendiri.
“Inisiatif kerajaan ini amat tepat dan membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat yang masih belum mempunyai tanah seperti saya. Saya juga berharap agar dapat memiliki satu lot tanah RTB ini”, katanya.
Sementara itu, Rokiah Abu Bakar, 60, pula berkata tindakan itu sangat wajar kerana tanah dan rumah menjadi satu keperluan yang sangat utama kepada penduduk terutama mereka yang sudah bekeluarga untuk membina kehidupan yang sempurna.
“Kerajaan telah membuat satu langkah yang baik untuk rakyat dalam membantu golongan yang berpendapatan rendah dan belum berpeluang untuk memiliki tanah.
“Saya berharap agar pengagihan tanah tersebut biarlah telus, adil dan saksama, Selain itu, pastikan tanah diberikan hanya kepada yang lebih layak,”katanya.
Selain itu, Penyelia Agensi Transformasi Rakyat DUN Batu Buruk, Mohd Akram Mohd, 31, berkata dia menyokong cara pembahagian 50 peratus kepada golongan belia dan golongan berusia itu.
“Tindakan ini sangat wajar dilakukan oleh kerajaan agar tidak berlaku diskriminasi antara rakyat dan akan menyebabkan pertikaian di kemudian hari.
“Malah, saya juga berharap agar kerajaan memberikan tanah tersebut kepada rakyat yang memenuhi syarat sahaja kerana masih ramai yang belum memiliki tanah sendiri untuk mendirikan rumah,”katanya.
Untuk rekod, permohonan tersebut boleh dilakukan secara atas talian melalui https//tanahrtb.terengganu.gov.my dan http://pttrg.terengganu.gov.my. - teganukite.net