Sebanyak 47 unit rumah dengan kos RM1.7 juta dibelanjakan untuk Program Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak 10 tahun lalu di seluruh Terengganu.
Projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB bagi membaiki dan membina rumah bernilai RM50,000 sebuah khusus kepada golongan kurang berkemampuan yang tinggal di luar bandar, bukan dari sumbangan kerajaan negeri, tetapi keuntungan syarikat korporat itu serta zakat kepada orang Islam yang kurang berkemampuan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A.Latiff Awang berkata, usaha TNB yang berterusan melakukan tanggungjawab sosial wajar dipuji dan dicontohi oleh semua pihak.
“Program seperti ini terpuji kerana ia dapat membantu golongan yang memerlukan bantuan antaranya orang kurang upaya, ibu tunggal, warga emas dan penduduk miskin yang tinggal di luar Bandar.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih atas CSR TNB yang telah bermula sejak tahun 2008 lagi kepada rakyat Terengganu dan program Baiti Jannati TNB ini yang telah dilancarkan pada 2007 oleh Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, ”katanya ketika berucap di Majlis Kesyukuran Sempena Penyerahan Rumah Projek Baiti Jannati TNB di Kampung Gondang, Marang, semalam.
Turut hadir, Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) TNB, Mohd Rashdi Ab Hamid.
Sementara itu, penerima rumah berkenaan, Mariam Taib, 67, yang juga seorang ibu tunggal mempunyai lapan orang anak amat terhutang budi dengan bantuan TNB dan kerajaan negeri kerana membantunya untuk memiliki rumah di atas tanah sendiri.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, dengan adanya rumah ini, ia dapat meringankan beban saya sekeluarga dan saya amat bersyukur kerana telah terpilih mendapat bantuan rumah ini,”katanya yang sebelum ini terpaksa tinggal di atas tanah orang lain di Kampung Sungai Undang di Binjai Rendah, Marang.
Pada keseluruhannya sejak 2007 TNB telah membelanjakan sebanyak RM17.6 juta untuk membina dan membaik 439 rumah orang miskin di seluruh Malaysia. - teganukite.net