Kerajaan negeri mengenal pasti tanah rakyat yang perlu diganti khususnya tanah perumahan yang terlibat projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL)yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Pantai Timur membabitkan beberapa laluan di Terengganu.
Menteri Besar,Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kawasan yang akan diambil balik untuk projek ECRL sudah dikenal pasti.
“Kerajaan telah mendapat keputusan kawasan yang akan diambil balik tanah, cuma jumlah tanah yang akan diambil masih belum dikenal pasti, tetapi kerajaan negeri akan memutuskan jumlah sebenar dalam masa yang terdekat ini.
“Walaubagaimanapun, kerajaan akan menyediakan tanah ganti yang berdekatan kepada pihak terlibat agar mereka tidak meninggalkan kawasan yang mereka menetap selama ini.
“Bagaimanapun, mereka perlu membuat pembayaran yang sewajarnya dengan pampasan tanah yang diberi oleh kerajaan,”katanya semasa sidang media Skim Khas Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Rumah 2017 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Dalam laporan sebelum ini, projek ECRL bakal dimulakan Julai ini membabitkan beberapa perubahan laluan di Terengganu.
Menteri Besar berkata, ia mengekalkan lapan stesen dengan pindaan lokasi stesen dan penambahan empat jejari jajaran berbanding dua sebelum ini.
Mengikut cadangan asal, ia membabitkan jarak sepanjang 234 kilometer (km) dari Kampung Raja ke Kemaman tetapi cadangan baru adalah sejauh 227 km dengan cadangan bagi empat jejari jajaran adalah 71 km. - teganukite.net