Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman bersetuju dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa calon-calon Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan dipilih berdasarkan calon yang disukai dan boleh menang.
"Saya bersetuju sangat dengan kenyataan TPM yang mahukan calon "Winnable dan likeable".
"Kita akan pilih calon yang digemari dan disukai oleh rakyat," katanya.
Ahmad Razif berkata, Terengganu akan melihat perkara itu berasaskan dua faktor tersebut.
Ahmad Razif berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas kenyataan TPM berhubung calon PRU14 sewaktu menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Bukit Besi, Roslee Daud, di Simpang Lay Bay Bukit Besi, Dungun, hari ini.
Dalam pada itu, Roslee berkata, beliau percaya dan menyokong dengan keputusan pucuk pimpinan serta akur dengan segala keputusan nanti.
"Pemilihan calon terpulang kepada pucuk pimpinan kerana mereka lebih tahu untuk tentukan siapa.
"Apa yang lebih penting ialah kemenangan berpihak kepada BN," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri itu.
Kira-kira 10,000 tetamu hadir pada majlis rumah terbuka yang berlangsung dengan meriah serta disajikan pelbagai jenis juadah moden dan tradisional. - teganukite.net