Sunday 30 July 2017

Rozi (tengah) memukul bola woodball sebagai gimik perasmian Kejohanan Woodball Terbuka Antarabangsa Malaysia Kali Ke-20 sempena Visit Beautiful Terengganu 2017 di Dataran Taman Awam Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini. Foto Oleh: Zulkifli C.W Putra


Kerajaan negeri mengambil inisiatif memperkenalkan acara sukan woodball kepada pelajar sekolah bagi menarik minat generasi muda mengenali sukan yang agak asing bagi rakyat negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato' Rozi Mamat berkata, permainan woodball adalah satu sukan yang sesuai untuk semua peringkat usia termasuk mereka yang agak berumur dan anak-anak muda.

Katanya, bagi menarik minat orang ramai menyertai sukan yang sudah lama bertapak tetapi kurang biasa bagi rakyat Terengganu, kerajaan negeri telah menetapkan setiap daerah mempunyai satu sekolah sebagai tempat mencungkil bakat atlet dalam sukan woodball.

“Antara insiatif kerajaan negeri untuk menarik minat orang ramai menyertai sukan woodball adalah dengan memperkenalkan sukan ini ke peringkat sekolah di semua daerah negeri ini.

“Buat permulaan ini, kita ambil satu daerah satu sekolah dan sudah dilaksanakan sejak tiga tahun lalu dan sambutan agak memberangsangkan. Mungkin selepas ini akan diperluaskan ke setiap agensi kerajaan kerana permainan ini cukup sesuai untuk semua lapisan usia,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kejohanan Woodball Terbuka Antarabangsa Malaysia Kali Ke-20 sempena Visit Beautiful Terengganu 2017 di Dataran Taman Awam Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini.

Sementara itu Rozi berkata, dengan adanya kejohanan sukan woodball peringkat antarabangsa yang julung kali diadakan di Terengganu, selain dapat menaikkan industri pelancongan negeri, ianya secara tidak langsung menimbulkan minat serta rasa ingin belajar terutamanya kepada seluruh masyarakat Terengganu untuk mengenali dengan lebih dekat, apa itu sukan woodball.

“Apa yang membanggakan, dalam kejohanan Sukma lepas Terengganu ada menghantar atlet dalam sukan ini dan kita dapat pingat.

“Walaupun dalam kejohanan kali ini kita tidak meletakkan sasaran utama untuk bergelar juara, apa yang lebih penting saya mengharapkan atlet-atlet kita dapat menimba pengalaman dengan atlet luar negara untuk memantapkan lagi kemahiran.

Kejohanan Woodball Terbuka Malaysia Antarabangsa yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini di Dataran Taman Awam Batu Burok menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM26,050.

Ianya disertai 252 atlet dan pegawai dari sembilan buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Jepun, Hong Kong, Taiwan, Nepal, Pakistan dan Uganda. - teganukite.net

Demi Masa

Kategori Artikel

Arkib Blog

Jumlah Pelawat

1TeCC. Powered by Blogger.

Makluman

Promosi

Artikel Pilihan