Wednesday 28 June 2017


Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menerima pungutan zakat berjumlah RM27,067,335.49 sepanjang empat bulan pertama tahun ini.

Yang Dipertua Maidam, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, pihaknya menyasarkan jumlah kutipan untuk tahun ini akan terus bertambah berbanding tahun sebelumnya berdasarkan kesedaran orang ramai untuk mengeluarkan zakat semakin meningkat.

Beliau berkata, ini terbukti melalui jumlah zakat yang berjaya dikutip dalam tempoh tiga tahun lepas iaitu sebanyak RM120,119,520.62 (2014) meningkat kepada RM126,641,997.25 (2015) dan RM133,642,573.15 (2016).

Bagi pungutan zakat setakat 30 April lalu, beliau menjelaskan, zakat pendapatan mencatat kutipan tertinggi iaitu RM13,309,966.09 diikuti zakat perniagaan (RM6,839,251.12), wang simpanan (RM6,185,292.18) dan zakat harta (RM473,727,63).

“Lain-lain ialah zakat emas perak (RM168,648.67), zakat tanaman (RM63,729.80) dan zakat fitrah (RM70),” katanya.

Menurut Shaikh Harun, Maidam telah membelanjakan sebanyak RM43,146,764.51 wang zakat kepada lapan golongan asnaf yang layak sepanjang tempoh tersebut.

Katanya, daripada jumlah itu perbelanjaan kepada asnaf kategori miskin adalah sebanyak (RM18,430,956.98), fisabilillah (RM14,903,295.98), fakir (RM5,771,010.24), amil (RM2,345,709.57).

“Manakala muallaf (RM840,224.31), al-gharimin (RM659,915.43) dan al-riqab (RM189,292.00),” ujarnya.

 Shaikh Harun berkata, Maidam memberi perhatian serius terhadap asnaf fisabilillah dalam usaha menjadikan golongan ini sebagai pengubah nasib keluarga.

"Perbelanjaan kepada asnaf fisabilillah ini kebanyakannya ialah untuk anak-anak golongan miskin melanjutkan pelajaran mereka kerana kita tidak mahu golongan ini terus mewarisi kemiskinan keluarga.

“Kita biayai mereka ini untuk meneruskan pengajian kerana perjuangan akademik dan pelajaran itulah yang mampu mengubah nasib mereka suatu hari nanti,” ujarnya. - teganukite.net

Demi Masa

Kategori Artikel

Arkib Blog

Jumlah Pelawat

1TeCC. Powered by Blogger.

Makluman

Promosi

Artikel Pilihan