Pemangku Pengarah Maritim Terengganu, Komander Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli bersama hasil rampasan dalam dua buah bot yang ditahan semalam di muara Kuala Terengganu hari ini. |
Maritim Malaysia (APMM) berjaya mengesan sindiket menjual ikan berkualiti tinggi kepada nelayan Vietnam yang didalangi warga tempatan di sekitar perairan Pantai Timur termasuk Terengganu.
Pemangku Pengarah Maritim Terengganu, Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, kegiatan tidak bertanggungjawab yang berpusat di tengah laut dipercayai antara punca harga ikan di Terengganu lebih mahal berbanding negeri-negeri lain.
"Risikan yang kita perolehi, sindiket berkenaan menjual hasil tangkapan ikan premium seperti kerapu, siakap, kurau dan yu kepada nelayan Vietnam terbabit manakala cuma membawa pulang ikan berkualiti biasa dan rendah ke jeti-jeti nelayan di negeri ini.
"Bukan satu tetapi banyak sindiket disyaki terlibat dalam perbuatan menjual ikan berkualiti tinggi kepada nelayan Vietnam di tengah laut yang didalangi warga tempatan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Terengganu, semalam.
Muhammad Sufi berkata, disebabkan harga yang ditawarkan nelayan Vietnam agak tinggi berikutan permintaan yang tinggi terhadap ikan berkualiti premium terbabit untuk dieksport termasuk ke negara-negara Eropah, maka sindiket terbabit mengambil jalan mudah untuk mengaut keuntungan besar.
Menurutnya lagi, kekurangan hasil laut di perairan Vietnam dan kelebihan perairan Terengganu yang kaya dengan ikan dan sotong berkualiti tinggi mempengaruhi aktiviti yang merugikan negara ini.
Sehubungan itu, pihak APMM serius untuk membanterasnya melalui proses risikan dan siasatan sebelum dalang sebenar sindiket terbabit dapat dikesan.
Muhammad Sufi memberitahu, setakat ini, sebanyak 105 bot nelayan Vietnam merangkumi 29 bot di perairan Pahang, Terengganu dan Kemaman (55) dan Kelantan (21) berjaya ditahan APMM sejak awal tahun ini. - teganukita.net