Saturday, 23 December 2017

Mohd Jidin meninjau kawasan sekitar Batu Buruk yang diberi wajah baru. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Bandaraya Kuala Terengganu akan berubah wajah apabila landskap di pusat-pusat rekreasi diperindahkan lagi dengan menggantikan cat baru agar lebih menarik sebagai tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee berkata, program mengindahkan bandar raya tersebut merupakan kesinambungan daripada yang pernah dijalankan sebelum ini.

Katanya, tujuan utama program tersebut adalah bagi menghias dan mencantikkan lagi Bandaraya Kuala Terengganu dengan landskap yang lebih menarik bersesuaian dengan slogan 'Terengganu Terbersih'.

"Untuk hari ini, kita membelanjakan RM10,000 dan tujuannya adalah bagi mempromosikan kawasan bandaraya serta Batu Buruk kerana banyak lagi perkara-perkara yang kita perlu perbaiki terutama tugasan di bawah (portfolio) kesejahteraan bandar di Kuala Terengganu ini.

"Program yang mendapat tajaan dari syarikat Jotun melibatkan semua kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan juga sukarelawan serta jabatan lain seperti anggota bomba dari Balai Bomba Jalan Kota menyertai bersama," katanya.


Beliau ditemui pemberita dalam Program Seni Hias Bandar di Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Terengganu, Mohd Zulkifli Abu Bakar.

Mohd Jidin berkata, kawasan Batu Buruk dipilih supaya ianya lebih bersih dan cantik selain keselamatannya terkawal serta mempunyai tempat-tempat rekreasi yang menarik dan berwarna-warni.

Tambahnya, pembersihan yang dilakukan tersebut bukan sahaja melibatkan bangunan, tetapi ia juga melibatkan kedai-kedai yang terkesan akibat musim tengkujuh.

Katanya lagi, selain Batu Buruk, program itu juga dilaksanakan di kawasan sempadan bandaraya terutamanya yang menjadi tumpuan orang ramai.

"Kita tumpu di kawasan bermula di Masjid Tengku Tengah Zaharah sehingga ke Pulau Rusa termasuk kawasan daerah pulau-pulau dan sampai ke Simpang Tok Ku.

"Kerja-kerja dijalankan termasuk mengecat, membina, membersih, menanam pokok selain melihat kawasan sekitar supaya tidak mendatangkan penyakit," katanya. - teganukite.net

Demi Masa

Kategori Artikel

Arkib Blog

Jumlah Pelawat

1TeCC. Powered by Blogger.

Makluman

Promosi

Artikel Pilihan