Sunday 21 January 2018


Lebih 165,000 penduduk luar bandar bakal mendapat akses perkhidmatan internet, siaran televisyen dan radio menerusi 52 program Menghubung dan Menyatu (CTU) yang disasarkan di seluruh negara pada tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Dato' Seri Jailani Johari berkata, kerajaan akan membangunkan infrastruktur seperti menara telekomunikasi, capaian internet yang lebih tinggi dan penyiaran digital yang mampu memberi manfaat kepada rakyat.

"Sehingga hari ini, sebanyak 78 Program CTU dilaksanakan di seluruh Malaysia yang memberi manfaat berterusan kepada 403,000 rakyat di kawasan pedalaman.

"Manakala sebanyak 38 menara telekomunikasi telah dibina dan 460 alat penyiaran satelit telah diedarkan di bawah pendekatan digitising, " kata Jailani.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program NBOS-CTU Penyelenggaraan Rumah & Bantuan Insan Terpilih Parlimen Hulu Terengganu di Dewan Terbuka Kampung Landas, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Multimedia,Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad  Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Dato' Ibrahim Abdul Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Ghazali Taib.


Tambah Jailani lagi, projek baik pulih rumah daif dan pemberian bantuan kepada penduduk golongan miskin di Parlimen Hulu Terengganu yang dilaksanakan pada hari ini adalah antara projek yang dirancang sejajar dengan hasrat kerajaan untuk merakyatkan penyampaian perkhidmatan komunikasi.

Katanya, kedua-dua komponen itu amat penting bagi mewujudkan masyarakat bermaklumat dan terhubung serta meningkatkan taraf hidup penduduk.

"Pada hari ini peruntukan sebanyak RM400,000 diberikan bagi kerja-kerja baik pulih rumah daif di kawasan Parlimen Hulu Terengganu melibatkan sebanyak 40 buah rumah yang dikategorikan sebagai rumah daif.

"Di samping itu, hari ini kita juga meraikan seramai 200 orang anak-anak yatim dan 200 orang ibu tunggal yang mana setiap mereka akan diberi sedikit sumbangan berupa wang tunai dan juga barangan keperluan harian, " ujarnya.

Menurutnya, ia adalah merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat dan selaras dengan objektif program CTU untuk merakyatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat negara ini. - teganukite.net

Demi Masa

Kategori Artikel

Arkib Blog

Jumlah Pelawat

1TeCC. Powered by Blogger.

Makluman

Promosi

Artikel Pilihan