Wednesday 1 August 2018

Mohd Nor melepaskan kiub abu ke laut.

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur melupuskan sebanyak 400 kiub abu al-Quran di perairan Pulau Kapas, Marang, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkat, kiub seberat empat tan itu adalah hasil pembakaran 10,000 mushaf.

"Ini adalah kali ke lapan kita melupuskan abu al-Quran sejak 2012 dan inovasi abu dalam bentuk kiub bermula tahun 2016. Ini menyelesaikan masalah abu bertebangan semasa proses pelupusan selain lebih selamat untuk alam sekitar," katanya.

Sebanyak 400 kiub abu dengan anggaran 10 kg setiap kiub.

Mohd Nor turut menyeru orang ramai yang ingin melupuskan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci al-Quran untuk menyalurkan bahan tersebut di masjid kawasan masing-masing.

"Masjid pula boleh menyalurkan bahan di pejabat agama daerah. Setakat ini, JHEAT tidak mengenakan sebarang bayaran untuk melakukan pelupusan atas tanggungjawab kita terhadap agama," katanya.

Program itu turut dihadiri Penolong Pegawai Penguatkuasa, Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri, Suhana Sahidin dan Penolong Pegawai Kawalan Alam Sekitar, Mohd Nizam Abdul Latif.

Abu dalam bentuk kiub lebih praktikal untuk dilupuskan.


Pengerusi Lembaga Pengarah UMT Dato' Mohammed Azlan Hashim dan Dr. Nor Aeini bersama penerima anugerah.

Seramai 153 warga Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dari pelbagai perkhidmatan terpilih menerima anugerah sempena Majlis Anugerah Tahunan 2018 di Kampus UMT Gong Badak, semalam.

Empat kategori anugerah iaitu Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Khas Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Julangan Bakat dan Anugerah Khas Naib Canselor disampaikan sebagai mengiktiraf komitmen, jasa dan budaya kerja cemerlang warga kerja dalam tugas mahupun penglibatan aktif dalam sosial dan kemasyarakatan.

Naib Canselornya, Profesor Dato' Dr. Nor Aeini Mokhtar berkata, pengiktirafan itu dapat mewujudkan persaingan sihat antara warga kerja dalam memberikan perkhidmatan terbaik.

Dr. Nor Aeini Mokhtar.

"Para penerima anugerah malam ini merupakan contoh kepada rakan sekerja untuk mengikut langkah kecemerlangan pada masa akan datang.

"Jadikan ia sebagai dorongan untuk memberik komitmen dalam melebarkan kecemerlangan UMT sebagai universiti terunggul dan penyumbang kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam," katanya.

Dalam pada itu, penerima Anugerah Khas Naib Canselor, Helmi Khalil merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak UMT.

"Bukan senang untuk seorang staf bukan akademik menerima anugerah tertinggi di universiti. Saya berharap UMT akan terus mengiktiraf hasil tugas staf bukan akademik yang sebenarnya turut menyumbang kepada kecemerlangan universiti," katanya.

Beliau terpilih menerima sijil khas dan wang tunai RM 3,000 selepas menyelamatkan seorang pelajar antarabangsa yang lemas di kolam renang UMT.

Helmi menerima Anugerah Khas Naib Canselor



Kemerdekaan dan keamanan negara yang kita kecapi pada hari ini merupakan hasil dari pengorbanan para perajurit dan anggota keselamatan yang menyekat segala ancaman dari dalam dan luar negara.

Mereka mempertahankan ibu pertiwi dengan darah dan nyawa menjadi taruhan, kata Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi laman Facebook yang dimuat naik beliau hari ini.

"Justeru, sempena Hari Pahlawan, saya mengajak seluruh rakyat Terengganu dan Malaysia umumnya menyemai semangat patriotik dalam diri dan mempertahankan kedaulatan negara seperti semangat perwira.

Jadikanlah ia sebagai satu iltizam dalam diri untuk menghargai para pejuang negara.
Selamat Hari Pahlawan kepada semua perajurit dan anggota keselamatan serta keluarga mereka.

Tanpa kalian, rakyat Malaysia tidak dapat menikmati apa yang  dimiliki sekarang,"ulas beliau lagi. - teganukita.net


TDM Berhad telah menjalani proses penstrukturan semula ahli lembaga pengarahnya yang telah menyebabkan lima peletakan jawatan secara sukarela dan lima pelantikan baru yang berkuatkuasa serta-merta.

Dalam satu kenyataan di Bursa hari ini, TDM Berhad mengumumkan Pengerusi Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail meletakkan jawatan dan digantikan oleh Dato’ Raja Idris Raja Kamarudin.

Idris, 65, berpengalaman selama 30 tahun dalam jawatan pengurusan kanan di syarikat swasta, syarikat tersenarai awam dan multinasional. Beliau adalah Pengarah Eksekutif Kumpulan TDM dari tahun 2000 hingga 2004.

Beliau juga merupakan pengarah Terengganu Inc Sdn Bhd - syarikat pemegangan pelaburan milik negeri Terengganu - yang merupakan pemegang saham utama dalam TDM.

Sementara itu, dua Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif, Dato’ Ahmad Shukri Md Salleh dan Mohd Nasir Ali, juga meletak jawatan. Turut meninggalkan lembaga itu adalah dua Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif, iaitu Samiun Salleh dan Md Kamaru Al-Amin Ismail.

Mereka digantikan oleh Mohd Kamaruzaman A Wahab dan Burhanuddin Hilmi Mohamed yang dilantik sebagai Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif manakala Mazli Zakuan Mohd Noor dan Dato’ A. Rahman Yahya dilantik sebagai Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif.

Jun lalu, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Moktar dilaporkan berkata kerajaan negeri akan menyusun semula semua anak syarikatnya, terutama di bawah Terengganu Inc. seperti TDM, untuk menyusun semula kepentingan mereka dengan kerajaan negeri.

"Kami akan menyusun semula semua syarikat yang dimiliki oleh kerajaan dan menyusun semula arah perniagaan mereka," kata Ahmad Samsuri.

Terengganu Inc. kini mempunyai kira-kira 61.084% kepentingan dalam TDM yang mengendalikan penanaman sawit dan penjagaan kesihatan.

Saham TDM ditutup satu sen atau 3.85% kepada 25 sen hari ini, dengan satu juta saham diniagakan, untuk permodalan pasaran sebanyak RM414.47 juta. - teganukita.net

Muhammad Suffi

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan dua bot nelayan Vietnam kerana menangkap ikan di perairan negara, semalam.

Kedua-dua bot nelayan asing tersebut ditahan kapal penguatkuasa maritim, KM Seguntang pada masing-masing pada kedudukan 125.8 batu nautika dan 58.0 batu nautika dari muara Kuala Terengganu antara jam 6.30 pagi dan 6.30 petang.

Pemeriksaan mendapati kedua-dua bot terbabit tidak memiliki permit menangkap ikan yang sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia dan 34 nelayan warga Vietnam berusia dalam lingkungan 15 hingga 51 tahun terbabit juga tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Pemangku Pengarah Maritim Terengganu, Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, 12 tan ikan pelbagai jenis dan sotong, 12,000 liter minyak diesel serta peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM3 juta berjaya dirampas berikutan penahanan kedua-dua bot nelayan tersebut.

“Siasatan awal juga mendapati bot nelayan Vietnam pertama yang ditahan pada kedudukan 125.8 batu nautika juga menyamar sebagai nelayan tempatan dengan mengemukakan permit Jabatan Perikanan disyaki palsu bagi cuba mengaburi mata pihal berkuasa.

“Bot yang dinaiki 18 nelayan Vietnam termasuk seorang awak-awal itu juga cuba melarikan  diri sebaik menyedari kehadiran KM Seguntang sebelum berjaya dipintas kira-kira dua jam kemudian.
"Bot kedua pula ditemui KM Seguntang sedang memukat ikan disyaki secara haram pada kedudukan 58.9 batu nautika sewaktu dalam perjalanan pulang ke jeti Pejabat APMM Kuala Terengganu,  semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 14 (3) (b) akta sama serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1963," katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Terengganu, semalam.

Muhammad Suffian berkata, APMM menahan 32 bot nelayan Vietnam di perairan negara melibatkan rampasan RM45 juta sejak awal tahun ini. - teganukita.net

suspek dari Kampung Banggol Tuan Muda  ditahan di pejabat Suruhanjaya Pence­gahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Terengganu

Seorang kontraktor Jabatan Syarikat Air Terengganu (Satu) direman selama tujuh hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan kes berkaitan tuntutan palsu berjumlah RM11,060, pada Disember tahun lalu.

Suspek yang berusia 50 tahun, disyaki mengemukakan tuntutan palsu tersebut kepada Satu bagi satu projek pengubahsuaian bumbung garaj Depoh Agihan Satu di Gong Badak, Kuala Nerus yang sebenarnya tidak disiapkan.

Semalam, suspek dari Kampung Banggol Tuan Muda  ditahan di pejabat Suruhanjaya Pence­gahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Terengganu ketika hadir memberi keterangan kira-kira jam 5.30 petang.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latif bagi membantu siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun. - teganukita.net

Pemangku Pengarah Maritim Terengganu, Komander Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli bersama hasil rampasan dalam dua buah bot yang ditahan semalam di muara Kuala Terengganu hari ini.

Maritim Malaysia (APMM) berjaya mengesan sindiket menjual ikan berkualiti tinggi kepada nelayan Vietnam yang didalangi warga tempatan di sekitar perairan Pantai Timur termasuk Terengganu.

Pemangku Pengarah Maritim Terengganu, Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, kegiatan tidak bertanggungjawab yang berpusat di tengah laut  dipercayai antara punca harga ikan di Terengganu lebih mahal berbanding negeri-negeri lain.

 "Risikan yang kita perolehi, sindiket berkenaan menjual hasil tangkapan ikan premium seperti kerapu, siakap, kurau dan yu kepada nelayan Vietnam terbabit manakala cuma membawa pulang ikan berkualiti biasa dan rendah ke jeti-jeti nelayan di negeri ini.

"Bukan satu tetapi banyak sindiket disyaki terlibat dalam perbuatan menjual ikan berkualiti tinggi kepada nelayan Vietnam di tengah laut yang didalangi warga tempatan," katanya pada sidang akhbar  di Pejabat APMM Terengganu, semalam.

Muhammad Sufi berkata, disebabkan harga yang ditawarkan nelayan Vietnam agak tinggi berikutan  permintaan yang tinggi terhadap ikan berkualiti premium terbabit untuk dieksport termasuk ke negara-negara Eropah, maka sindiket terbabit mengambil jalan mudah untuk mengaut keuntungan besar.

Menurutnya lagi, kekurangan hasil laut di perairan Vietnam dan kelebihan perairan Terengganu yang kaya dengan ikan dan sotong berkualiti tinggi mempengaruhi aktiviti yang merugikan negara ini.

Sehubungan itu, pihak APMM serius untuk membanterasnya melalui proses risikan dan siasatan sebelum dalang sebenar sindiket terbabit dapat dikesan.

Muhammad Sufi memberitahu, setakat ini, sebanyak 105 bot nelayan Vietnam merangkumi 29 bot di perairan Pahang, Terengganu dan Kemaman (55) dan Kelantan (21) berjaya ditahan APMM sejak awal tahun ini. - teganukita.net

Tuesday 31 July 2018

Abdul Manat bersama sebahagian koleksi peribadi yang unik daripada barangan terbuang dihadapan rumahnya di Kampung Paloh Nyior di Hulu Telemong
Melangkah ke halaman sebuah rumah Kampung Paloh Nyior, Hulu Telemong, pasti ramai yang menyangkakan bahawa pemilik kediaman itu adalah orang kurang waras atau gila.

Bukan disebabkan rumahnya, tetapi kerana terdapat puluhan barangan rosak dan terbuang termasuk kasut buruk pelbagai jenis yang tergantung kemas di setiap penjuru halaman kediaman ini.

Melihatnya sekali imbas, sesiapa sahaja akan terasa seolah-olah berada di tempat buangan sampah kerana dipenuhi dengan barangan yang sudah tidak dapat digunakan lagi.

Namun biasalah setiap orang mempunyai ragam dan pendiriannya tersendiri dalam mendefinasikan apa yang dirasakan berlainan dan ada di antaranya mengumpul barangan yang dirasakan unik mengikut pandangan mata mereka.

Ada di antara kita cuba mempunyai hobi yang boleh dikongsi bersama tetapi ada juga yang mahukan kelainan supaya berbeza dengan orang lain.
Abdul Manat menunjukkan papan tanda yang bertulis Orang Gila Sdn Bhd di luar kawasan rumahnya.
Abdul Manat Ibrahim,57, seorang bekas tentera cuba mencari kelainan daripada yang sedia ada sebagai mengisi kekosongan dalam hidup dengan mengumpul barangan yang dianggap terbuang dan sudah tidak bernilai lagi.

Dianggap sebagai orang gila atau kurang siuman tidak melunturkan semangat beliau untuk meneruskan hobinya yang mempunyai nilainya tersendiri malah mempunyai jenamanya tersendiri iaitu Orang Gila Sdn. Bhd.

"Ada yang melihat apa yang dilakukan oleh saya ini sebagai tidak boleh diterima akal malah digelar kurang siuman oleh sesetengah pihak termasuk penduduk kampung.

"Namun akhirnya mereka tersedar dengan apa yang digelar mengarut di mata mereka itu, sebenarnya mempunyai kelainan dan nilainya yang tersendiri, dan kelainan itulah yang menjadikan saya, Orang Gila Sdn. Bhd lebih unik dan bernilai," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini, hari ini.

Tambah Abdul Manat, pemilihan nama Orang Gila Sdn. Bhd timbul apabila dia dikatakan mencerobohi tanah persendirian dan perkara itu telah di bawa ke Pejabat Tanah.

Ekoran dari itu, dia memutuskan untuk menggunakan nama Orang Gila Sdn. Bhd sebagai sindiran kepada individu tersebut supaya tidak mudah menuduh seseorang dan ditambah pula dengan hobinya yang pelik itu.


Datuk kepada lapan cucu ini juga berkata, segalanya bermula sejak 18 tahun lalu sebagai satu cara mengisi masa lapang sejak bersara dari tentera dan lebih suka memilih hobi yang dari kebiasaan walaupun orang ramai menganggapnya tidak waras lagi.

"Saya bukan buat salah pun, tidak kacau orang tetapi saya memang gemarkan sesuatu yang pelik demi kepuasan diri sendiri.

"Kini mereka yang dahulunya menganggap saya orang gila banyak membantu dengan menyumbangkan barangan terpakai yang hendak dibuang kepada saya untuk dipamerkan di sini," ujarnya lagi.

Kini Orang Gila Sdn. Bhd mempunyai koleksi kira-kira 20 unit kipas siling, 12 televisyen, puluhan unit jam dinding serta beberapa unit komputer termasuk info jarak perjalanan yang menarik perhatian pengguna jalan raya untuk berhenti bergambar.

Sementara itu, isteri Abdul Manat, Senah Ismail, 56, pernah menghalang hobi pelik suaminya kerana tidak tahan dengan tohmahan yang diterimanya.

"Tetapi kini saya dan anak-anak dapat menerima hobi suami saya saya dengan baik dan memahaminya kenapa memilih hobi yang lain daripada biasa dan unik...sejak itu saya tidak pernah menghalangnya untuk terus berkreativiti demi kepuasannya,"katanya.

Bagi anak bongsu dari enam adik beradik, Zulshawal Manat, 20, dia tetap memberi sokongan selagi hobi tersebut tidak memudaratkan ayahnya dan keluarga.

"Nak katakan sokong sepenuhnya pun tidak, nak larang pun tak boleh jadi ayah nak buat apa pun buatlah selagi tak bahayakan dirinya.

"Mula-mula dahulu sewaktu ayah mulakan hobinya yang pelik ini, dengan gelaran yang diberi, memang saya rasa malu tetapi lama kelamaan saya dapat menerimanya kerana tahu itu adalah keistimewaan ayah yang unik dan tidak terdapat kepada orang lain,"kata Zulshawal. - teganukita.net

Demi Masa

Kategori Artikel

Arkib Blog

Jumlah Pelawat

1TeCC. Powered by Blogger.

Makluman

Promosi

Artikel Pilihan