Sunday 17 December 2017

Mohd Fazli(berkerusi roda) mencuba baju sekolah kepada anaknya Muhammad Fakhriy Nasiruddin bersama dua lagi anak lelakinya Muhammad Faqeh Naqiuddin(kanan) dan Muhammad Fathun Najmuddin


Bantuan dalam bentuk baucer bernilai RM100 mungkin tidak besar nilainya tetapi bagi 165 ibu bapa yang anak mereka terpilih dalam Program ‘Back To School´ Parlimen Hulu Terengganu, sumbangan itu amat bermakna.

Bagi seorang bapa, Mohd Fazli Abd Ghani,43, yang mengalami kecacatan kaki sejak 2013, bantuan itu amat meringankan bebannya yang hanya bergantung kepada duit Perkeso sebanyak RM 1,800 untuk menampung kehidupan tujuh daripada lapan anaknya yang masih bersekolah.

Kakitangan Tenaga Nasional Berhad(TNB) bahagian penjanaan elektrik di Empangan Kenyir terjatuh ketika bermain bola pada tahun 2010 mengakibatkan kakinya dipotong  pada 2013 dan terpaksa berhenti kerja selepas itu.

"TNB ada beri duit pampasan sebanyak RM100,000 dan saya gunakannya membina rumah untuk keluarga saya dan bagi sara hidup, saya bergantung kepada duit Perkeso setiap bulan lagipun isteri saya hanyalah surirumah,"ujarnya lagi.

“Zaman sekarang, barang-barang sekolah mahal. Seorang kadang-kadang sudah cecah RM200 untuk beg, baju, kasut, alat tulis dan bermacam-macam lagi. Justeru, saya amat bersyukur dengan bantuan ini, ” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan sekolah 'Back To School' Parlimen Hulu Terengganu  di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, hari ini.


Seramai 165 orang anak yatim, asnaf dan ibu tunggal yang kurang berkemampuan menerima sumbangan set kelengkapan persekolahan percuma menerusi Program ‘Back to School’ peringkat Parlimen Hulu Terengganu.

Program pada kali ini menyumbang sepasang baju beserta seluar, kasut sekolah, beg sekolah, kelengkapan alat tulis dan wang tunai bernilai RM100.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Seri Jailani Johari berkata program sebegini adalah bertujuan meringankan beban ekonomi golongan yang kurang bernasib baik bagi menghadapi persediaan  kembali ke sekolah yang bakal tiba.

“Sebagai Ahli Parlimen, saya memahami denyut nadi rakyat saya dalam ekonomi yang tidak menentu, keadaan cuaca yang menggugat ekonomi sesebuah dan ini merupakan inisiatif terbaik yang dilakukan oleh Parlimen Hulu Terengganu bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan di sini.

“Antara barangan yang diberi adalah baju, kelengkapan  alat tulis, beg sekolah dan kasut sekolah dalam bentuk baucer bernilai RM100 yang boleh ditebus di majlis yang sama," katanya. - teganukite.net

Demi Masa

Kategori Artikel

Arkib Blog

Jumlah Pelawat

1TeCC. Powered by Blogger.

Makluman

Promosi

Artikel Pilihan