Thursday, 28 September 2017


Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu akan menambah baik sistem aliran trafik di kawasan Pusat Dagangan Terengganu (TTC) dan sekitar bagi mengatasi kesesakan lalu lintas khususnya pada waktu puncak.

Jurutera Awam Kanan (Jalan), JKR Negeri Terengganu, Suhaimi Mokhtar berkata, perubahan aliran trafik di kawasan tersebut akan bermula pada 1 Oktober ini.

Katanya, antara punca berlaku kesesakan di kawasan terbabit disebabkan jumlah kenderaan pengguna yang menggunakan laluan ‘Drive Thru Mc Donald’ yang meningkat mendadak.


“Justeru, laluan jalan Padang Hiliran (hadapan Giant) akan ditukar dari dua hala ke satu hala bagi melancarkan aliran trafik di kawasan berkenaan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. - teganukite.net


Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar meneruskan suntikan motivasi kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai dan SMK Kemasik Kemaman yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula pada 6 November hingga 4 Disember nanti.

Menurutnya, dengan adanya program ilmu motivasi itu semua calon SPM diharap mampu meningkatkan keyakinan diri, menggandakan usaha dan percaya kepada kebolehan sendiri untuk mencapai kejayaan kedan kemenangan hanyalah milik orang yang rajin berusaha.

"Saya cukup bangga dengan adanya program sebegini bersama pelajar-pelajar yang cukup bersemangat mendengar kata-kata saya supaya menjawab peperiksaan SPM dengan penuh bersemangat dan terus menjadi seorang yang bijak pada masa akan datang," katanya kepada Teganukita hari ini.


Dalam ucapannya kepada calon SPM berkenaan, Abdul Hakim berkata, pengiktiran dan ganjaran akan datang kepada mereka yang menunjukkan sikap yang berkualiti dan baik dalam setiap amalan seharian.

Menurut beliau lagi, `tiada kejayaan semanis madu tanpa pengorbanan sepahit hempedu' yang bermaksud kejayaan yang manis hanya akan dapat kita kita kecapi jika sanggup berkorban dan  menempuhi pelbagai cabaran serta kesukaran.

"Akhir kata saya, selamat menjalani peperiksaan SPM 2017 kepada semua pelajar yang bermula pada 6 November kelak dan sentiasa bertenang, berdoa serta berusaha sebaik mungkin sepanjang peperiksaan berjalan.


"Tidak lupa juga, saya mendoakan kejayaan buat semua pelajar SPM 2017 bukan sahaja di Kemaman, bahkan Terengganu serta seterusnya dapat menyambung pengajian di bidang-bidang yang menjamin masa depan kelak," katanya.

Beliau menambah, sebelum ini program yang sama dilaksanakan di DUN Air Putih, bagaimanapun kali ini Chukai dan Kemasik turut terpilih untuk sama-sama mendapat rangsangan motivasi sebagai kelangsungan program tahunan beliau di Parlimen Kemaman. - teganukite.net

SK Taman Bukit Dahlia yang mewakili Johor menjadi juara kejohanan Bola Sepak Tujuh Sebelah Satu Murid Satu Sukan (7S1M1S) 

Kesungguhan Yayasan Bank Rakyat (YBR) menganjurkan kejohanan Bola Sepak Tujuh Sebelah Satu Murid Satu Sukan (7S1M1S) di bawah 11 tahun berjaya mencungkil bakat muda dan pelapis sukan negara.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YBR Tan Sri Shukry Mohd Salleh, berkata kejohanan yang memasuki tahun ketiga itu telah mendapat pengiktirafan bagi kategori Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Katanya YBR telah memperuntukkan sebanyak RM671,280 bagi penganjuran 7S1M1S.

"Kejohanan ini merupakan medan terbaik untuk mencungkil bakat pemain yang boleh diketengahkan ke peringkat kebangsaan.

"Pada kejohanan tahun lepas, seramai lima orang peserta telah ditawarkan untuk menyertai akademi JDT (Johor Darul Ta'zim) bagi mengembangkan lagi bakat sedia ada," katanya ketika berucap dalam Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Kejohanan 7S1M1S di Stadium Gong Badak, petang semalam.

Majlis penutup kejohanan itu, disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bazlan Abd Rahman. 

Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Dahlia yang mewakili Johor  mengondol juara apabila berjaya menewaskan SK Cochane (WP Kuala Lumpur), manakala tempat ketiga SK Seremban 2A (Negeri Sembilan).

Kejohanan yang memasuki Tahun ke-3 itu telah mendapat pengiktirafan bagi kategori NBOS (National Blue Ocean Strategy) di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2013 – 2025 melalui kerjasama di antara pihak swasta dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Kejohanan itu merupakan salah satu program Pembangunan Pendidikan YBR dengan objektif utama penganjurannya adalah bagi memberikan galakan dan dorongan kepada atlet remaja di sekolah-sekolah supaya bergiat aktif dalam kegiatan sukan serta melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas dari segi fizikal dan mental. - teganukite.net

Kerajaan Negeri akan memperkenalkan JOBSTTB di bawah Program Transformasi Graduan Terengganu (TGTP)  bermula 1 Oktober ini khusus untuk graduan anak Terengganu yang mempunyai minat dalam bidang pengkhususan tertentu.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata graduan yang mengikuti program tersebut akan ditempatkan di bawah syarikat-syarikat milik kerajaan negeri.

Katanya, terdapat tujuh bidang latihan akan diperkenalkan dalam program yang boleh dipohon secara atas talian.

"Tujuh bidang latihan yang ditawarkan adalah pengurusan, pembuatan/pembinaan, pertanian, perikanan, veterinar, pelancongan dan usahawan berdasarkan minat serta kelulusan bersesuian.

"Ianya terbuka kepada semua anak Terengganu yang mempunyai kelayakan ijazah atau diploma daripada pelbagai bidang pengkhususan dan berumur 20 tahun ke atas," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Replika Cek Oleh TDM Berhad di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan TDM, Dato' Mohamat Muda dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd, Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak.

Tambahnya, graduan yang menyertai program tersebut akan diberi elaun sebanyak RM1,000 seorang sepanjang tempoh enam bulan.

Katanya, permohonan akan mula dibuka bermula 1 Oktober ini dan graduan yang berminat boleh melayari laman sesawang http://tgtp.terengganu.gov.my. - teganukite.net


Pertubuhan Karyawan Kreatif Darul Iman (Karyawan) menganjurkan kembara ‘Terengganu De Latimojong’ dalam usaha membantu kerajaan negeri mempromosikan sektor pelancongan Terengganu khususnya sempena Visit Beautiful Terengganu (VBT) 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia & Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata, seramai 20 pendaki termasuk pengamal media Terengganu bakal menawan puncak Rante Mario, Gunung Latimojong, Sulawesi Selatan, Indonesia bermula pada 30 September hingga 6 Oktober ini.

Katanya, ekspedisi julung kali diadakan itu merupakan inisiatif Karyawan yang dilihat mampu mengeratkan hubungan antara kerajaan Terengganu bersama Provensi Sulawesi menerusi program pendakian gabungan dua negara ini.

“Terima kasih semua penaja program ini. Semoga misi ini berjaya memberi satu impak besar kepada para peserta yang membawa nama Terengganu dan ianya akan diteruskan lagi dengan pendakian ke gunung-gunung yang lebih mencabar pada masa akan datang.

“Kita juga berharap ekspedisi ini dapat membantu kerajaan negeri mempromosikan produk-produk pelancongan termasuk keindahan pantai, pulau , tasik disamping tinggalan sejarah termasuk warisan Melayu tradisi serta bangunan-bangunan lama yang terdapat di negeri ini,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis penyerahan Penajaan Dan Sumbangan Projek ‘Terengganu De Latimojong” di Wisma Darul Iman, hari ini.

Sementara itu,  Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Terengganu,  Leftenan Kol (PA) Che Adam A Rahman yang akan mengetuai pendakian tersebut berkata, kumpulan pendaki juga turut melaksanakan tanggungjawab sosial komuniti kepada masyarakat di Desa Karangan iaitu perkampungan yang terletak di kaki gunung berkenaan dan memberi bantuan keperluan harian serta alat tulis kepada pihak yang memerlukan di desa tersebut.

"Ia sebagai tanda prihatin daripada kumpulan pendaki kepada masyarakat desa Karangan yang menjadi sebahagian nadi yang membangunkan kawasan pergunungan berkenaan," katanya.

Menurut beliau, kumpulan pendaki akan turut  melakukan pertukaran logo VBT 2017 dengan “Simbol Perlancongan Sulawesi” sebagai gimik hubungan akrab antara dua pihak.

“Pada masa sama, ia juga bertujuan membantu mengembangkan sektor pelancongan Terengganu menerusi aktiviti pendakian," katanya. - teganukite.net

Wednesday, 27 September 2017


Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad mencatatkan peningkatan hasil pendapatan sebanyak 13 peratus iaitu dari RM380.8 juta ke RM428.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata peningkatan dalam prestasi kewangan didorong terutamanya dari bahagian perladangan dan penjagaan kesihatan.

Katanya, dengan nilai peningkatan hasil pendapatan tersebut, TDM Berhad melakukan bayaran dividen dan perkongsian keuntungan kepada agensi-agensi kerajaan negeri berjumlah RM7.01 juta.

"Jumlah pembayaran dividen bagi agensi-agensi kerajaan negeri adalah berjumlah RM4.72 juta iaitu kepada Terengganu Incorporated Sdn Bhd, Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu dan Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu Sdn Bhd.

"TDM Berhad juga membayar keuntungan sebanyak RM2 juta kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu dan RM249,277 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebagai bayaran keuntungan hasil perkongsian usahama," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Replika Cek Oleh TDM Berhad di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan TDM, Dato' Mohamat Muda dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd, Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak.


Ahmad Razif berkata, bahagian perladangan mencatatkan pendapatan lebih tinggi berjumlah RM245.9 juta berbanding jumlah tahun sebelumnya RM215.6 juta.

Katanya, bagi bahagian penjagaan kesihatan pula mencatatkan hasil pendapatan sebanyak RM182.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 2016.

Tambahnya, seiring dengan prestasi kewangan bagi tahun kewangan berakhir 2016, pemegang saham telah meluluskan pembayaran dividen akhir sebanyak 0.5 sen sesaham.

"Dasar dividen TDM Berhad adalah membayar kepada pemegang saham sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keuntungan bersih tahunan yang disatukan selepas cukai serta seteah mengambil kira kepentingan pihak minoriti," katanya. - teganukite.net


Seorang usahawan muda mampu memperolehi pendapatan kasar kira-kira RM 50,000 sebulan hasil menjual kuih bulan dan kuih bakul yang diusahakan di rumahnya setiap hari di Bukit Kuang, Chukai.

Haziqah NurulHuda Harun, 21 tahun dari kampung Bukit Kuang berkata, beliau mengusahakan perniagaan itu sejak 27 Februari 2015 lagi.

"Dulu saya menjual kuih bakul ini secara kecil-kecilan di rumah dengan menjual kepada kawan-kawan dan kini saya mengembangkan perniagaan saya 100 peratus memasarkan melalui laman sosial di facebook 'VictoryYaya Mooncake N Kuih Bakul'.

"Setelah saya menjual dalam laman sosial, perniagaan saya bertambah maju dan banyak tempahan dari seluruh Malaysia dan luar negara dengan permintaan yang tinggi," katanya.

Beliau merupakan Orang Kelainan Upaya ( OKU ) yang lumpuh kakinya akibat demam panas tetapi beliau tetap gigih dan berusaha untuk mencari pendapatannya sendiri dengan menjual kuih dirumah dan dalam laman sosial.

"Saya bersyukur atas kudrat illahi, kerana buat masa sekarang hasil pendapatan saya sudah mencecah RM 50,000 sebulan manakala keuntungan juga bersih selepas dikira dengan modal dan mampu bayar gaji pekerjanya seramai lapan orang," ujarnya.

"Selain daripada itu, tidak lupa dengan kata-kata pelanggan saya yang selalu memberi dorongan dan sokong agar perniagaan bertambah maju serta pendapatan semakin meninggkat," katanya.


Menurut Haziqah, beliau belajar resepi kuih bakul dan kuih bulan daripada sahabatnya yang belajar di Beijing.

"Saya memasarkan kuih bulan dan juga kuih bakul halal dengan menggunakan bahan-bahan yang dijamin halal dan bersih," katanya.

Haziqah berkata, hasil pendapatannya itu akan dibahagikan untuk beliau menyimpan dijadikan modal lagi bagi memperluaskan perniagaannya pada masa akan datang.

"Saya ingin memperluaskan lagi pernigaan saya menjual kuih ini dengan menghantar ke pasaraya dan menerima tempahan majlis serta orang ramai," katanya. - teganukite.net

Tuesday, 26 September 2017

Che Wan Mohd. Saidi memetik cili di kebun miliknya sempena Program Penarafan Penuaian Cili Tersebar Oleh MBOR di Kampung Raja, Tepoh hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah Abu Kassim

Seramai 17 petani negeri ini turut serta dalam program penuaian pokok cili terbanyak secara serentak untuk rekod Malaysia Book of Records (MBOR) sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2017.

Ketua Seksyen Hortikultur Jabatan Pertanian Terengganu, Noaini Mamat berkata, penyertaan peserta dari 15 lokasi di seluruh daerah negeri ini untuk program anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) itu adalah bagi menjayakan rekod MBOR yang menyasarkan satu juta pokok cili dituai secara serentak di seluruh negara.


“Sebanyak 31,267 pokok cili pelbagai variasi seperti cili kulai, minyak dan solok milik 17 petani bimbingan Jabatan Pertanian Terengganu berjaya dituai pada hari ini.

“Hasilnya akan dikumpulkan dan di bawa ke sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang untuk pengiktirafan MBOR," ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan proses penuaian 3,567 pokok cili di kebun cili milik Che Wan Mohd. Saidi Che Wan Sulong di Kampung Raja, Tepoh, hari ini.

Noaini berkata, Jabatan Pertanian Terengganu juga dalam usaha untuk menjadikan negeri ini sebagai antara pengeluar cili utama negara.

“Penanaman cili dipilih kerana permintaan terhadap hasil pertanian ini sangat tinggi dan kita menggalakkan peserta menaman cili untuk meningkatkan pengeluaran negara sekali gus berusaha mengurangkan kebergantungan kepada import cili dari negara luar,” ujarnya. - teganukite.net


Bekas ibu pejabat bijih besi dalam daerah Kemaman kini menjadi bangunan yang unik dan dijadikan Mini Muzium Kemaman.

Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Mohd Yusof Abdullah berkata, bekas bangunan ibu pejabat bijih besi tersebut dibeli oleh Malayan Banking ketika dahulu dan ia merupakan satu daya tarikan pelancong yang terletak di Kapung Dusun Nyoir, Bandar Chukai.

"Malayan Banking membeli bangunan itu yang berjumlah kira-kira 1 juta pada waktu dahulu dan beliau berhasrat untuk dijadikan muzium yang menempatkan gambar tokoh-tokoh tersohor di negeri ini," katanya.


Menurut Yusof Abdullah, muzium yang terletak di Kemaman itu sudah mula dibuka kepada orang ramai sejak Julai tahun lalu dan majlis perasmian dijangka dilakukan oleh bekas Menteri Besar dalam masa terdekat.

"Selain itu, muzium berkenaan merancang untuk mengadakan tiga pameran utama iaitu Khazanah Kampung China, Pameran Inovasi dan Pameran Haiwan Berbisa Antarabangsa," katanya.

Menurut Yusof Abdullah, penubuhan Muzium Daerah Kemaman yang menfokuskan kepada individu-individu yang terbilang di negeri Terengganu dirancang dan dicetuskan oleh Jawatankuasa Pembangunan Muzium Daerah Kemaman dan diluluskan dalam Mesyuarat Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

"Memandangkan negeri Terengganu memiliki ramai tokoh yang berjaya dalam pelbagai bidang sama ada di peringkat kebangsaan ataupun di peringkat antarabangsa namun penubuhan Muzium Jasa Mu Dikenang ini dianggap perlu bagi mengenang jasa serta memberikan pengiktirafan yang sewajarnya.kepada mereka yang berkenaan.


"Insan yang mana dirinya ditonjolkan di dalam muzium ini merupakan antara jutaan rakyat negeri Terengganu yang amat berjaya di dalam bidang masing-masing sama ada dalam bidang pentadbiran, bidang sukan, bidang budaya, bidang agama, bidang sastera serta bidang pendidikan,"katanya.

Katanya, diharapkan agar muzium yang mempamerkan tentang biadota, pengorbanan, jasa serta perjuangan insan yang gemilang ini bakal memberikan 1001 maklumat yang berguna terutamanya kepada generasi baru.


"Selain itu, agar generasi baru dapat mencontohi, menjiwai dan seterusnya mencontohi kejayaan tokoh-tokoh ini dalam bidang masing-masing dalam mengharumkan nama negeri dan juga Negara," katanya,"katanya. - teganukite.net


Terengganu International Bike Meet (TIBM) Volume 2 2017 yang akan berlangsung di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu selama dua hari bermula 29 September ini dijangka menjadi antara himpunan motor yang terbesar di Asia.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak berkata, pada tahun lepas, seramai 5,200 peserta menyertai program anjuran bersama kerajaan negeri dan Kelab Penunggang  Motosikal Negeri Terengganu itu.

Katanya, tahun lalu, lebih 20,000 pengunjung membanjiri tapak program sepanjang himpunan di Pulau Warisan, Kuala Terengganu berkenan.

"Pada kali ini, kita adakan program ini di Dataran Shahbandar dan penganjur mensasarkan 7,000 peserta termasuk dari Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia.

"Penganjuran acara bermotosikal ini memang kerajaan negeri amat mengalukan kerana ia mensasarkan satu kumpulan yang mempunyai ramai pengikut. Jadi tahun ini penganjur meletakkan tidak kurang dari 25,000 pengunjung hadir ke program itu," katanya.


Beliau ditemui pemberita pada sidang media sempena Terengganu International Bike Meet Volume 2 2017 di Duyong Marina & Resort, Kuala Terengganu, hari ini.

Tambahnya, penganjuran TIBM tersebut secara tidak langsung dapat dijadikan platform untuk melonjakkan Terengganu di mata masyarakat luar terutamanya kepada penggiat sukan permotoran.

Tun Ahmad Faisal berkata, ianya juga dapat menyumbang kepada  ekonomi negeri melalui aktiviti pelancongan.

Dalam pada itu, presiden Kelab Penunggang  Motosikal Negeri Terengganu, Ahmad Fanizar Bani Mat Taha berkata, untuk edisi kali kedua itu, penganjur memberi suntikan kelainan untuk memberi lebih peluang kepada anak Terengganu beraksi.

"Pertamanya, aksi lasak bermotosikal kebiasaannya di lakukan oleh pelagak ngeri dari luar namun kali ini kita gunakan anak Terengganu sendiri sama juga bagi persembahan pentas dimana Falah Bassim dan Purnama Band bakal beraksi di sini.

"Tahun ini juga, kita akan adakan konvoi ke Sekolah Pondok Iktifar, Langkap Baru yang mana program ke sana sambil menderma," katanya. - teganukite.net


Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu akan menghimpunkan 22  peniaga trak makanan dengan sajian lebih  100 menu menarik sempena  Karnival Jom Heboh Negeri Terengganu di perkarangan Mini Stadium Kompleks Sukan Negeri Terengganu.

Mereka  yang terlibat pada program selama dua hari dan berakhir 30 September itu akan menjual  pelbagai menu antaranya, kambing bakar, burger bakar, minuman berjus dan  makanan barat. Apa yang pasti, konsep dan menu yang disajikan itu tiada di kedai atau restoran lain.

Aktiviti lain, gerai jualan dan pameran, seminar keusahawanan penyediaan sijil halal, pembelajaran, motivasi dan perkongsian ilmu serta pelbagai lagi acara sampingan sepanjang program tersebut.    
  
Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Noorul Husna A Rashid berkata,   pihaknya komited untuk melahirkan lebih ramai usahawan menjalankan perniagaan menggunakan trak atau Business on Truck khususnya dalam kalangan belia di negeri ini.

Katanya, dahulu, jika ingin membuka perniagaan, mereka memerlukan modal yang besar untuk mendapatkan sebuah kedai, malah perlu mencari lokasi sesuai untuk memulakan sesuatu perniagaan.

"Namun, konsep Business on Truck ini, selain tidak perlu memeningkan kepala memikirkan kos sewa bulanan premis, konsep ini juga membolehkan perniagaan ini dipromosikan kepada masyarakat di pelbagai tempat dan kawasan.

“Inisiatif kreatif itu wajar diketengahkan sebagai pilihan kepada golongan muda yang ingin memulakan perniagaan,”katanya   

Menurut Noorul Huda, pihaknya juga mahu menggalakkan orang ramai khususnya golongan belia menyertai perniagaan seumpama itu sejajar dengan ikutan ramai pada masa kini.

"Konsep perniagaan menggunakan trak kini semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat terutamanya golongan belia di negeri ini.

“Ia menjadi trending yang bukan hanya makanan yang diniagakan, malah beberapa produk lain juga sesuai dengan peredaran masa,” katanya. - teganukite.net


Golden Pharos Berhad (GPB), sebuah syarikat berasaskan pembalakan mengumumkan pelantikan Dato’ Ahmad Nadzarudin Abdul Razak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu berkuatkuasa mulai 13 September lalu.

Pelantikan Ahmad Nadzarudin yang berkelulusan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dari University Of Houston, Amerika Syarikat dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari University Of Warwick, England bagi menggantikan Mohd Adawi Ton Omar.

Sebelum menyertai GPB, beliau adalah Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Panglima iaitu syarikat yang terlibat dalam sumber asli berpoerasi di Malaysia, Laos dan Indonesia.

Beliau pernah memegang pelbagai jawatan kanan di konglomerat Malaysia dan syarikat berkaitan kerajaan.

Pada  2011, Ahmad Nadzarudin dilantik Ketua Bahagian Perkhidmatan di DRB-Hicom Berhad yang bertanggungjawab terhadap Puspakom dan Alam Flora.

Sebelum itu, beliau adalah Ketua Pegawai Operasi PosLaju Courier Nasional, Pengurus Besar Perancang Korporat di Pos Malaysia Berhad dan Ketua Hal Ehwal Korporat di Prolink Development, sebuah subsidiary Renong Berhad.

Mengulas mengenai pelantikan itu, Pengerusi GPB Dato’ Muhammad Pehimi Yusof berkata, beliau mengalu-alukan pelantikan seorang pemimpin yang berpengalaman dan berharap Kumpulan GPB akan memulakan aliran pertumbuhan di bawah kepimpinan baharu ini.

Untuk rekod, GPB adalah anak syarikat kerajaan negeri yang merupakan syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia terlibat dalam pengurusan konsesi hutan; pembalakan dan pengagihan; pengilangan papan dan pemprosesan tambah nilai barangan berasaskan kayu; pengilangan serta penjualan panel kaca seni binaan. - teganukite.net

Demi Masa

Kategori Artikel

Arkib Blog

Jumlah Pelawat

1TeCC. Powered by Blogger.

Makluman

Promosi

Artikel Pilihan